Sorting by

×

Sidang benteng warisan adat dan budaya Melayu

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Dis. – Sidang di negeri ini bukan setakat pelengkap sistem pentadbiran kerajaan, malah yang lebih utama ialah benteng warisan adat dan budaya Melayu yang harus dipertahankan.

Seni dalam budaya dan adat Melayu yang dijunjung oleh pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi itu harus diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain bagi memastikan ia tidak luput ditelan zaman atau mati tanpa pewarisnya.

Menegaskan perkara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sistem pentadabiran negara dari peringkat Persekutuan hingga kerajaan negeri akhirnya berada di tangan Sidang sebagai pihak yang bertanggungjawab memelihara seni, budaya dan adat Melayu.

“Sidang adalah benteng seni, budaya dan adat Melayu kita sejak zaman berzaman dan ia harus diperturunkan dari generasi sekarang kepada yang akan datang.

“Bagaimana kita boleh memastikan perjuangan kita untuk mempertahankan kuasa, agama, seni, budaya dan adat kita boleh diwariskan kepada anak cucu kita?” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin peringkat DUN Tanjung Bidara, di Kompleks al-Khawarizmi, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan 11 Sidang dalam DUN berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN serta Pengerusi Masjid/Surau dalam DUN berkenaan.

Seramai 11 Sidang menerima watikah pelantikan daripada Rauf manakala Pengerusi JPKK menerima poster normal hidup baharu berkaitan pandemik COVID-19 dan pengerusi masjid/surau menerima sumbangan.

Beliau mengingatkan pemimpin akar umbi, termasuk Sidang dan Pengerusi JPKK supaya sentiasa peka terhadap aspek pembangunan dan keperluan anggota komuniti dan bertindak segera mengemukakan masalah mereka kepada ADUN.

Katanya, walaupun kemajuan dan pembangunan fizikal di kampung masing-masing harus terus dilaksanakan, aspek seni, budaya dan adat tidak harus dilupakan, sebaliknya ia harus dipertahankan dengan semangat jitu.

Sehubungan itu, beliau meminta Sidang bekerjasama secara erat dengan JPKK dan pihak pengurusan masjid bagi memastikan segala masalah di kampung mampu diatasi,
sekali gus memelihara perpaduan sesama anggota komuniti.

 

Views:

697
Kongsi :
Previous post Tiga pendaki ditemukan selamat selepas sesat dua hari
Next post Jangan lari daripada perjuangan
Ubah saiz-+=