Sorting by

×

MELAKA AKAN UMUM ‘KHABAR GEMBIRA’ SEMPENA 20 FEBRUARI 2025

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 1 Januari – Langkah awal mempromosi Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) akan bermula seawal 20 Februari depan, maklum Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, memandangkan tarikh tersebut telah diwartakan sebagai cuti umum Negeri Melaka bersempena hari memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, ia menjadi waktu terbaik untuk memulakan gerak kerja bagi membuat hebahan mengenai acara pelancongan bertaraf dunia yang akan diadakan di negeri ini.

Jelas Ketua Menteri, pada tanggal tarikh tersebut, Kerajaan Negeri juga akan menyampaikan khabar gembira, di mana ia dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Yang pastinya ia membabitkan perancangan yang akan menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke Melaka, di samping memberitahu mereka mengenai sambutan WTD dan WTC 2025 dengan kehadiran pemimpin-pemimpin seluruh dunia ke Melaka pada bulan September nanti.

“Jadi, tunggu..insentifnya mungkin lebih baik daripada tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran WTD 2025 di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, malam tadi.

Terdahulu, pelancaran WTD 2025 telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Pada 20 Februari tahun lalu, Kerajaan Negeri Melaka telah memberikan insentif kemasukan percuma ke 10 tempat pelancongan terpilih bersempena cuti umum bagi memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Tempat pelancongan itu adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Zoo Melaka, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka Wonderland and Themepark, Taman Laut Melaka, lima Kelab Golf Negeri Melaka, Muzium Penjara Malaysia Melaka dan Malaysia Heritage Studio.

Malah, Kerajaan Negeri turut memberikan parkir percuma pada tarikh tersebut membabitkan kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA JADI TUAN RUMAH TERBAIK WTD, WTC 2025
Next post 202 ACARA ‘BESAR’ WARNAI MELAKA SEPANJANG 2024 – EXCO