Sorting by

×

Patuhi SOP semasa bercuti ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 13 Dis. – Pelancong domestik yang berpusu-pusu masuk ke negeri ini untuk melancong dan bercuti diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu penting dalam usaha mengekang penularan COVID-19 dalam negara, khususnya di negeri ini memandangkan pintu sempadan antara negeri kini sudah mula dibuka.

“Saya dimaklumkan sejak Jumaat lagi sudah sesak dengan kenderaan yang masuk ke Melaka. Jadi, saya ingin menasihati pengunjung yang datang agar sentiasa mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Anda boleh datang ke Melaka dan menikmati segala produk pelancongan yang ada di negeri ini, tetapi kasihanilah rakyat di negeri ini dan rakyat Melaka juga kasihanilah pengunjung luar yang datang ke Melaka.

“Kita sedar COVID-19 dalam negara masih lagi di tahap membimbangkan. Itu sebab saya katakan pengusaha pelancongan dan peniaga-peniaga, mesti mematuhi SOP serta menasihati pengunjung yang datang untuk patuh kepada SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelepasan konvoi Youth Take Over X Dekad Ini Dekad Anda, di Ayer Keroh.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pembukaan semula sektor pelancongan disifatkan sebagai satu petanda baik ke arah memulihkan semula ekonomi negara dan negeri ini khususnya.

“Apabila kerajaan membenarkan rentas negeri, saya tak boleh halang, sebaliknya kita alu-alukan. Kita berusaha mempergiatkan sektor pelancongan negeri ini kerana sedikit sebanyak ia boleh melonjakkan lagi ekonomi yang sebelum ini terjejas angkara COVID-19,” ujarnya.

Views:

327
Kongsi :
Previous post Ibrahim Yaacob writing against imperialism
Next post Belia Melaka digalak ceburi perniagaan dalam talian
Ubah saiz-+=