Sorting by

×

7 PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN MPAG SEPANJANG 2024

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ALOR GAJAH 28 Disember – Majlis Perbandaran Alor Gajah menutup tirai tahun 2024 dengan tujuh kejayaan membanggakan.

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, meskipun berdepan pelbagai cabaran tahun ini, namun warga kerja MPAG telah berjaya menunjukkan dedakasi tinggi sehingga berjaya melakar pelbagai kejayaan dan penganugerahan penuh bermakna.

Menurut beliau, antara kejayaan yang dicapai adalah Anugerah ‘Low Carbon Cities’ 2030 Challenge bagi persijilan provisional Bangunan Pentadbiran MPAG dan Masjid Al-Aman Kelemak, serta pengiktirafan ‘Diamond’ bagi rakan kongsi rendah karbon Masjid Ar-Rasyidin.

Selain itu, ujar beliau, MPAG turut meraih Kategori Emas dalam Pembudayaan Hijau, Kategori Perak bagi Projek Hijau dan Kategori Gangsa bagi Inovasi Hijau sempena Anugerah Hijau Negeri Melaka.

“MPAG juga memenangi Anugerah Gangsa bagi Sijil Pengiktirafan Anugerah Integriti, Governance dan Antirasuah (AIGA); sijil Audit Bersih bagi Penyata Kewangan Tahun Berakhir 31 Disember 2023 dan sijil penyertaan Developing Smart City 2024.

“Selain itu, MPAG turut menerima Penarafan 5 Bintang bagi Sijil Pengiktirafan SPB-PBT Tahun 2024 dan Anugerah Emas bagi kategori teknologi sempena Hari Inovasi Melaka Tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPAG Bagi Bulan Disember 2024 di Dewan Bougainvillea MPAG, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Penilaian dan Pengurusan Harta MPAG Rosnani Ibrahim; Pengarah Kejuruteraan MPAG Sugiman Johari; ketua-ketua jabatan dan unit serta warga kerja MPAG.

Dalam ucapannya, TPr. Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua ketua jabatan dan unit serta keseluruhan warga kerja MPAG yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu dan menjayakan pelbagai pencapaian, kejayaan dan program sepanjang tahun 2024.

“Saya percaya dengan usaha berterusan, kita mampu membawa MPAG ke tahap yang lebih tinggi. Semoga usaha kita sentiasa diberkati dan memberi manfaat kepada rakyat di daerah Alor Gajah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

179
Kongsi :
Previous post SENI MINIATUR PAPAR KEHIDUPAN KOTA MELAKA ABAD KE-15
Next post BIASISWA MAIM BANTU FARAH NABIHA BERGELAR DOKTOR