Sorting by

×

PELANCONGAN MELAKA TERUS MERIAH HINGGA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 27 Disember – Sektor pelancongan Melaka akan terus rancak sehingga 2026 selepas Kerajaan Negeri mengumumkan kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan diteruskan dua tahun lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjelaskan, pelanjutan itu susulan tahun depan Melaka bakal menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Justeru, beliau berkata Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk meneruskan kemeriahan TMM2024 bagi memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negara menjelang VM2026.

“Pastinya kita mengambil kesempatan dalam kerancakkan kehadiran pelancong sepanjang TMM2024 dengan memulakan promosi awal VM2026 yang sudah tentu memberi satu nilai tambah kepada pelancongan negeri ini.

“Program-program TMM2024 seperti Melaka Bila Larut Malam dan Set Kombo Menu RM10 juga akan diteruskan sehingga 2026 bagi memastikan semua pemain industri pelancongan dan pemilik restoran merasai limpahan ekonomi daripada sektor pelancongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, di Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, Melaka juga bakal menjadi destinasi tumpuan kapal persiar mewah dunia pada tahun depan selepas melakar sejarah dengan persiaran mewah Genting Dream Cruise pada setiap minggu bermula 11 November lalu.

Menurut beliau, rentetan itu, kapal kapal Blue Dream Melody dari Shanghai, China juga telah tiba di Melaka pada 15 Disember lalu dengan membawa 1,000 pelancong dan Melaka akan terus menjadi hab persinggahan beberapa lagi kapal persiar bermula Januari tahun depan.

“Antaranya, Seven Sea Voyager dan Riviera yang dijangka tiba pada bulan Januari 2025, diikuti Kapal Star Scorpio pada Mac 2025; dan Kapal pesiar Regatta dan Nautica pada bulan April 2025,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

106
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM3 JUTA SKIM BANTUAN RUMAH PERCUMA
Next post DISKAUN UNTUK PINJAMAN TAPEM
Ubah saiz-+=