Sorting by

×

BAJET 2025 MELAKA SENTUH DENYUT NADI RAKYAT

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

SERI NEGERI 27 Disember – Bajet 2025 Negeri Melaka yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, mengambil kira dan menyentuh segenap lapisan rakyat di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif.

Ab Rauf berkata, dengan tema ‘Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang’, ia merupakan satu perancangan yang komprehensif dengan memberi fokus agar semua rakyat merasai limpahan daripada pembentangan tersebut.

Menurut Ketua Menteri, bajet 2025 itu tidak hanya memberi tumpuan terhadap aspek kemajuan ekonomi, bahkan turut merangkumi kepedulian rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan.

“Antara inisiatif baharu yang diperkenalkan ialah memberi bantuan kepada pesakit buah pinggang yang memerlukan bantuan rawatan hemodialisis di mana mereka yang tidak berkemampuan boleh memohon kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapat bantuan tersebut.

“Selain itu, kita turut memberi tumpuan terhadap isu banjir di mana beberapa solusi banjir terutama di zon merah Masjid Tanah, di mana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang membuat perancangan untuk mengurangkan kesan banjir di kawasan tersebut.

“Saya juga meminta kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini menyediakan satu ambulans untuk kegunaan masyarakat di bawah kawasan pentadbiran tersebut, di mana inisiatif ini diambil memandangkan ambulans sedia ada di negeri ini masih tidak mencukupi. Jadi setiap tahun kita meminta setiap PBT menyediakan satu ambulans bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri menyantuni rakyat dalam konsep Paramedik Komuniti (PARAKOM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, di Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf membentangkan Bajet 2025 dengan anggaran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM497.7 juta dan anggaran hasil berjumlah RM498 juta, sekali gus mengekalkan inisiatif bajet lebihan.

Perbelanjaan mengurus itu merangkumi RM15.9 juta bagi Maksud Tanggungan dan RM481.9 juta bagi Maksud Bekalan, manakala anggaran hasil Kerajaan Negeri pula adalah menerusi Hasil Cukai berjumlah RM177.3 juta; Hasil Bukan Cukai RM279.7 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM41 juta.

Sementara itu, Perbelanjaan Pembangunan pula diunjur berjumlah RM88 juta merangkumi RM57.1 juta daripada sumber Hasil Negeri; RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP); RM2.5 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan RM20 token daripada Akaun Pinjaman Disatukan.

Bajet 2025 itu berfokus kepada tiga agenda utama iaitu Kepelbagaian Ekonomi dan Pengukuhan Daya Saing; Kepedulian Masyarakat dan Transformasi Modal Insan Berkualiti serta Perkhidmatan Awam Cekap dan Berintegriti.

Ia akan dilaksanakan secara komprehensif melalui 12 tumpuan utama berdasarkan 11 portfolio Exco dan satu tumpuan khusus melibatkan perkhidmatan awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post JENAZAH DUA PELAJAR UTEM SELAMAT DIKEBUMIKAN
Next post RM1.9 JUTA LAKSANA PENGANJURAN PROGRAM SUKAN