TAHUN MELAWAT MELAKA DITERUSKAN HINGGA 2026
SERI NEGERI 27 Disember – Tahun Melawat Melaka dilanjutkan hingga 2026 selaras dengan pemilihan negeri ini sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025).
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata ia disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Bagi mengekalkan momentum semangat Tahun Melawat Melaka, dengan ini slogan keramat yang acapkali meniti di bibir kita semua akan diteruskan, ‘Mana Lagi? Melaka Ler’.
“Melaka terus mendunia dengan menganjurkan pelbagai aktiviti melalui 14 subsektor pelancongan dengan 64 acara sepanjang tahun 2025 antaranya Pengkisahan Detik Kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Teater Kegemilangan Melaka.
“Selain Melaka International Mountain Bike Jamboree, Pesta Pantai Melaka dan Melaka International Travel Mart,” kata Ketua Menteri ketika Ucapan Bajet 2025 Negeri Melaka bertemakan Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang di Seri Negeri di sini, hari ini.
Menurutnya, sempena kehadiran dunia ke Melaka, Kerajaan Negeri menawarkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk melancarkan VM2026 semasa Majlis Perasmian WTD2025 DAN WTC2025 September tahun hadapan.
“Pendekatan ini dijangka dapat menjimatkan kos dengan menggabungkan dua acara besar secara serentak yang disertai oleh wakil-wakil dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.