MELAKA SEDIA TERIMA PELABURAN BERTEKNOLOGI TINGGI
SERI NEGERI 27 Disember – Kewujudan sebanyak 23 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini, melancarkan lagi urusan Kerajaan Negeri untuk menerima pelaburan berteknologi tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata institusi TVET memastikan sumber manusia yang mencukupi, sekali gus ekosistem terhasil daripada sektor pelaburan dapat diselaraskan selari dengan pembangunan ekonomi rakyat.
“Hasil pelaburan baharu juga meningkatkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan sokongan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri.
“Tenaga kerja berkemahiran tinggi akan dihasilkan bagi memenuhi sektor teknologi tinggi seperti semi konduktor, automasi, elektrik, elektronik dan permesinan.
“Kehadiran syarikat-syarikat antarabangsa berteknologi tinggi di German Technology Park (GTP) juga merangsang pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada syarikat serta tenaga kerja tempatan terutama dalam sektor menjadi tumpuan masa kini seperti robotik, automasi selain teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai apakah unjuran penghasilan pelaburan di Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, pembangunan kawasan industri juga turut merangsang pembinaan infrastruktur baharu yang menjadi daya tarikan Melaka sebagai lokasi kondusif bagi pelabur besar dan permastautin tetap.
“Justeru unjuran yang kita tetapkan ialah pengwujudan hasil daripada pelaburan ini akan memberikan pendapatan per kapita rakyat Melaka menerusi peluang pekerjaan, wujud hasil pelaburan syarikat asing dan domestik.
“Selain membantu sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti sektor hartanah dan lain-lain menerima impak positif seperti sektor perumahan, peruncitan, logistik, pelancongan dan hasil dibawa menerusi kemasukan pelabur yang datang untuk masa depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.