Sorting by

×

ADUN REMBIA KINI DI BLOK PEMBANGKANG

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 27 Disember – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia diisytihar berada dalam blok pembangkang berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumum Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum pada pembukaan Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, hari ini.

Ibrahim berkata, keputusan itu sekali gus menjadikan DUN Melaka kini mempunyai 25 Adun menyokong kerajaan dan tiga di blok pembangkang.

Menurut beliau, keputusan interim itu dibuat mengikut kuasa Speaker di bawah Peraturan 9(1), 36 dan 37 Peraturan Dewan.

“YB (Yang Berhormat) Rembia mengambil masa setahun, sebulan dan enam hari untuk mengisytiharkan keluar parti dan dalam tempoh itu telah melibatkan empat kali DUN bersidang.

“Saya memandang berat perkara ini, tetapi apakan daya, saya juga manusia dan saya ada pertimbangan sendiri.

“Sejujurnya, sukar untuk diterima perkara ini kerana ia tidak pernah berlaku dalam mana-mana Persidangan DUN atau Parlimen, jadi dengan berat hati saya membuat keputusan interim untuk mengubah kedudukan YB Rembia ke blok pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, hari ini.

Dalam ucapannya, Ibrahim turut menegaskan bahawa dirinya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengguna pakai Akta Lompat Parti yang telah diluluskan pada Ogos tahun lalu sekiranya berlaku lagi insiden sama pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1474
Kongsi :
Previous post SIDANG DUN MELAKA (BAJET 2025) BERMULA HARI INI
Next post PEMBUKAAN SIDANG DUN MELAKA TEGANG DENGAN LAUNGAN ‘KATAK’, ‘PENGKHIANAT’