DUA BERADIK MANGSA KEMALANGAN KM204 JALANI PEMBEDAHAN
BUKIT PALAH 25 Disember – Dua beradik terselamat dalam nahas kemalangan mengorbankan lima ahli keluarga mereka di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh Isnin, lalu dijadualkan menjalani pembedahan hari ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Nur Sofea Humariah Khairul Ikhwan, 4 selesai menjalani pembedahan akibat kecederaan pada bahagian tulang paha kiri pagi tadi.
Katanya, kanak-kanak perempuan terbabit bagaimanapun ditempatkan di wad biasa Hospital Melaka.
“Sementara itu abangnya, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7 dijangka menjalani pembedahan petang ini susulan tulang paha kanannya pecah.
“Kanak-kanak lelaki itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama,” katanya ketika ditemui selepas melawat dua kanak-kanak terbabit di hospital berkenaan.
Dalam kejadian pada jam 8.45 malam Isnin lalu, ibu bapa dua kanak-kanak terbabit yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima antara yang maut selain datuk dan nenek serta adik lelaki mereka.
Lima sekeluarga itu adalah Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama isteri Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar, 69, dan Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Dua lagi yang maut ialah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56 dan penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.
Dalam perkembangan sama, Hee Sem berkata pemandu treler, Mohamad Shafiq Mohd Zuki, 27 yang turut terbabit dalam kemalangan itu juga dijadualkan menjalani pembedahan pada petang ini.
“Bagaimanapun, keadaannya masih kritikal dan belum stabil, jadi kita perlu tunggu dia stabil baru menjalani pembedahan.
“Manakala empat penumpang bas persiaran warga Singapura yang dirawat di Hospital Melaka dibenarkan keluar hari ini,“ katanya.
Dalam kemalangan itu, tujuh termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan maut dalam nahas ngeri membabitkan lima kenderaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.