Sorting by

×

NAHAS KM204: ARWAH ABANG SEMPAT MINTA MAAF, PELUK – ADIK

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Disember – “Sikap arwah abang yang berubah sejak kebelakangan ini membuatkan saya hairan kerana dia sempat salam, meminta maaf dan menangis ketika memeluk saya”.

Itu luahan Noorismail Khamid, 50, adik kepada pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di sini, malam tadi.

Katanya, dia dimaklumkan nahas membabitkan abangnya daripada seorang rakan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur yang tersekat dalam kesesakan akibat kemalangan itu.

“Sebelum ini arwah abang tidak pernah bersikap begitu, waktu itu saya berasa sedih mengapa dia menangis sambil peluk saya kemudian meminta maaf atas apa yang dia lakukan selama ini.

“Tapi semalam lepas Maghrib saya rasa tidak sedap hati, mengantuk semacam dan tidak sangka dapat berita mengenai abang saya yang kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.

Anak bongsu daripada lapan beradik ini berkata abangnya menetap di Kampung Tawakal, Kempas, Johor menjadi pemandu bas sambilan selepas berhenti kerja sebagai ketua pemandu di sebuah syarikat persiaran pada 2020 susulan COVID-19.

“Allahyarham akan bertemu dengan saya sebelum memulakan perjalanan ke mana-mana destinasi, namun tidak berbuat demikian semalam.

“Arwah meninggalkan empat anak dan seorang cucu. Jenazahnya dijangka dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, Kempas,” katanya.

Berdasarkan maklumat diterima daripada Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, secara keluruhan seramai 20 mangsa kemalangan kini sedang dirawat di Hospital Melaka.

Mangsa turut melibatkan warga singapura.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post NAHAS KM204: SIASAT AWAL DAPATI INSIDEN BERPUNCA DARIPADA TAYAR TRELER TERCABUT – LOKE
Next post NAHAS KM204: TUN DR. MOHD ALI ZIARAH KELUARGA, MANGSA
Ubah saiz-+=