KONDA KONDI PRODUK PELANCONGAN BAHARU MELAKA 2025
BANDARAYA MELAKA 24 Disember – Permainan tradisional konda kondi bakal diangkat menjadi salah satu produk pelancongan Melaka pada tahun hadapan sekali gus mengimbau nostalgia zaman kanak- kanak.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, satu kajian terperinci bersama Politeknik Merlimau Melaka (PMM) sedang dilakukan bagi mengangkat kembali permainan tradisional itu.
“Kita akan bekerjasama dengan PMM yang sedang membuat kajian terperinci tentang permainan ini secara fizik pada Februari 2025.
“Kalau dahulu kita balik kampung, kita cari pokok, kita tebang anak-anak pokok ini dan jadikan ibu konda kondi, tetapi kali ini kita akan buat kajian secara fizik untuk mengeluarkan produk tradisional ini yang lengkap dengan versi saintifik dan peraturannya juga akan dipertingkatkan lagi.
“Ini termasuklah kiraan jarak satu-satu pukulan itu yang akan dikira sebagai markah untuk memenangi permainan konda kondi ini. Jadi kajian ini akan kita lihat semula pada awal bulan tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran di program Dak Rauf Masuk Konti di MelakaFM di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Menteri menzahirkan keyakinan permainan tradisional itu mampu menjadi salah satu produk yang akan mendapat perhatian di mata dunia.
“Saya berazam untuk memberikan permainan konda kondi ini sebagai satu cenderamata sempena Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) nanti.
“Satu cenderamata yang mana kaedah permainannya akan diletakkan dalam ‘thumb drive’ dan kod QR, mereka boleh lihat bagaimana kaedah untuk bermain konda kondi dalam alaf baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.