Sorting by

×

NAHAS KM204: IDENTITI DUA LAGI MANGSA MAUT DIKENAL PASTI

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

ALOR GAJAH 24 Disember – Indentiti dua lagi mangsa yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lagi mangsa itu adalah Lamrah Asis Ali, 66, warganegara Singapura yang merupakan penumpang bas persiaran, manakala seorang lagi, Fauziah Jaafar, 69, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.

Lima lagi mangsa maut yang telah dikenal pasti sebelum ini adalah Khairul Ikhwan Mazupi, 32 (pemandu MPV); Fadzlenna Ramli, 32 (penumpang MPV); Ramli Ab Wahab, 66 (penumpang MPV); Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2 (penumpang MPV) dan Noorisnien Khamid, 56 (pemandu bas).

Menurut beliau, selain tujuh mangsa maut, kemalangan itu turut menyebabkan 32 orang mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di beberapa hospital dalam negeri Melaka.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis memohon kepada orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5564153 (Pusat Kawalan IPD Alor Gajah) atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Alor Gajah, Inspektor Mohd Azmin Ismail di talian 010-8182624,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tujuh maut dalam kemalangan membabitkan dua lori, sebuah bas persiaran dan dua buah kereta di Kilometer 204, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 tadi.

Nahas itu dipercayai berpunca selepas bas persiaran yang membawa 27 penumpang menghala ke arah selatan telah terlanggar tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong tengah jalan.

Akibat pelanggaran itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan telah melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza, sebelum bertembung dengan sebuah lagi lori jenis Nissan dan MPV yang dinaiki pemandu serta penumpang yang sedang menghala ke utara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1858
Kongsi :
Previous post SAMBUTAN HARI LAHIR SERENTAK JADI KENANGAN TERAKHIR – WARIS MANGSA NAHAS KILOMETER 204
Next post KERAJAAN MELAKA BERDUKA CITA NAHAS DI KILOMETER 204
Ubah saiz-+=