5 PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN MPHTJ SEPANJANG TAHUN 2024
BANDARAYA MELAKA 24 Disember – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berkongsi lima pencapaian membanggakan sepanjang tahun 2024.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata lima pencapaian tersebut menjadi pemangkin semangat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk terus memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih agresif.
Katanya, antara anugerah yang diterima adalah The International Green Apple Environment Awards 2024 Peringkat Antarabangsa dan anugerah itu telah diberikan oleh The Green Organization, London.
Anugerah itu diterima hasil inisiatif MPHTJ mewujudkan program Duta Hijau dalam meningkatkan kelestarian dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
“Kedua merupakan Anugerah Bandar Paling Mampan 2024 Peringkat Kebangsaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Ia diikuti Anugerah Penarafan Smart City Early Adopter 2024 Peringkat Kebangsaan dan keempat adalah Anugerah Kategori PBT Toilet Of The Year Award 2024 (TOTYA’24) Peringkat Kebangsaan daripada KPKT.
“Selain itu, MPHTJ turut menerima Anugerah Sistem Pemantauan Laman Web Agensi Kerajaan Negeri Melaka 2024 di mana MPHTJ berada di kedudukan lima terbaik Portal Kerajaan Negeri/Agensi Negeri Melaka dengan markah 97/100 Peringkat Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi MPHTJ 2024, di sebuah hotel, di sini, semalam.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, beberapa hari sebelum 2024 melabuhkan tirai, MPHTJ mengambil kesempatan untuk meraikan semua pihak yang sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama yang baik dengan pihaknya dalam satu majlis penghargaan.
“MPHTJ menghargai jasa semua pihak yang tidak pernah jemu berkolaborasi bagi menjayakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun 2024.
“Kerjasama ini dilihat terus menjadi kepada hubungan akrab dan kolaborasi ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.