INISIATIF ‘IDEAL’ MAMPU TARIK LEBIH RAMAI PELABUR KE MELAKA
AYER KEROH 23 Disember – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperkenalkan inisiatif ‘Investor Development Easy Approval and License’ atau ‘IDEAL’, bagi menyokong hasrat Kerajaan Melaka untuk menarik lebih banyak pelaburan baharu ke negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, IDEAL akan memperkasakan lagi inisiatif Melaka Industrial Booster atau MIB seterusnya mencerminkan Melaka sebagai sebuah negeri mesra pelabur.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, IDEAL diwujudkan bagi menambahbaik prosedur sedia ada dalam memperkukuh kecekapan proses dan prosedur pelan pemajuan peringkat MBMB.
“Empat inisiatif baharu menerusi IDEAL adalah Industrian Green Lane dengan kelulusan 25 hari bagi pembangunan industri. Kedua: Prerequisite iaitu kelulusan dalam tempoh 22 hari bagi semua jenis pelan pemajuan.
“Ketiga: Self Regulation, iaitu kelulusan lengkap bagi kediaman dalam tempoh 15 hari dan Keempat: Kebenaran Merancang 24 Jam iaitu perakuan pelan kebenaran merancang lanjutan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana PBT Negeri Melaka 2024 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal negeri, Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yakin kesemua PBT tidak terkecuali dalam melaksanakan pelbagai projek baharu serta projek naik taraf demi kemudahan serta keselesaan penduduk dalam kawasan pentadbiran masing-masing.
Jelasnya, semua PBT diharap terus optimis dalam mempertingkat potensi kawasan pentadbiran masing-masing untuk menjana hasil lumayan seterusnya meletakkan Melaka sebagai negeri lestari.
“Antara projek yang kini menjadi tumpuan adalah Projek Menaik Taraf Jejantas Melaka Sentral; Eco-Cruise Sungai Linggi di Paya Lebar; Projek Puncak Laksamana yang menjadi mercu tanda baharu serta lokasi tumpuan penggemar aktiviti hiking serta Taman Ekstrem Tasik Chinchin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.