Sorting by

×

LIMA AMANAT PENTING PERKASA PBT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 23 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menekankan lima amanat penting dalam usaha memperkasakan lagi peranan dan tanggungjawab semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Melaka.

Menurut Ketua Menteri, amanat berkenaan penting buat empat PBT di Melaka iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Katanya, amanat yang pertama adalah setiap PBT perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dalam memastikan setiap keputusan diambil memberi manfaat seiring dengan cogan kata cekap, cepat dan mesra.

“Amanat kedua adalah mengeratkan lagi kerjasama antara PBT, setiap PBT di negeri ini perlu bekerjasama antara satu sama lain. Kerjasama ini dapat membantu menangani isu-isu seperti perancangan bandar, kemudahan infrastruktur dan kebajikan rakyat secara holistik.

“Ketiga, mengutamakan kelestarian dan pembangunan hijau, PBT perlu memberi tumpuan kepada pembangunan yang mesra alam dengan mempromosikan inisiatif hijau, pengurusan sisa lebih efisien, penggunaan tenaga mampan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Seterusnya, inovasi dalam teknologi dan transformasi digital. Saya menggesa semua PBT sentiasa mengadaptasikan teknologi digital dan yang terakhir adalah mendengar suara rakyat yang mana proses mendengar atau menghargai suara rakyat ini membantu dalam merangka dasar lebih berkesan serta relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana PBT Negeri Melaka 2024 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal negeri, Allex Seah Shoo Chin serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman, Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron, Yang Dipertua MPAG, Tpr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post LEMAS DI TALI AIR: MAYAT ANGGOTA POLIS DITEMUKAN PAGI INI
Next post PERLUAS INISIATIF ‘BASIC LIFE SUPPORT’ KE SEMUA PBT
Ubah saiz-+=