TERIMA KASIH BANTU SURAU KAMI
REMBIA 23 Disember – Usaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk memartabatkan institusi surau dan masjid diteruskan lagi dengan penyerahan sumbangan kepada Surau Ar-Rayyan, Sungai Petai Permai, Alor Gajah.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia berkata, pihak amat mengalu-alukan sumbangan dihulurkan MAIM demi menyuburkan lagi syiar Islam di Melaka.
“Alhamdulillah saya berkesempatan hadir ke Surau Ar-Rayyan, Sungai Petai Permai untuk menyampaikan cek sumbangan MAIM kepada pihak surau.
“Sumbangan ini adalah bagi tujuan menyokong usaha pembinaan baharu surau yang lebih selesa dan lengkap untuk kegunaan masyarakat setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berharap sumbangan itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi merealisasikan hasrat menyediakan fasiliti surau berkualiti dan terbaik.
Katanya, kemudahan berkualiti juga secara tidak langsung memperkukuhkan lagi peranan surau sebagai pusat ibadah, ilmu, dan penyatuan ummah.
“Saya berharap projek ini akan berjalan lancar dan diberkati Allah SWT. Semoga usaha kecil ini dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat dan mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan kita semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.