Sorting by

×

KOLOKIUM OKU 2024 PROGRAM PEMULA ANGKAT MARTABAT ANAK ISTIMEWA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 Disember – Kolokium Orang Kurang Upaya (OKU) 2024 menjadi program pemula dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap golongan kurang bernasib baik.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar Putra, Dr. Adam Al-Anas berkata pihaknya bersama agensi swasta akan memperluaskan program yang bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

Katanya, program kesedaran itu akan diperluaskan ke luar bandar dan pedalaman yang mana lokasi tersebut menerima akses terhad.

“Kolokium OKU 2024 ini objektifnya adalah untuk mengangkat martabat kanak-kanak OKU selain memberi kesedaran untuk memberi pendedahan atau intervensi awal buat ibu bapa, penjaga dan guru-guru.

“Menerusi Kolokium OKU 2024 ini juga beberapa langkah penting telah dicadangkan termasuklah peningkatan latihan bagi pendidik dalam mengenal pasti keperluan khas kanak-kanak OKU serta penyediaan lebih banyak kemudahan dan bahan pengajaran mesra OKU.

“Daripada segi perawatan pula, sebagai doktor pakar saya menekankan pentingnya pendekatan perubatan yang lebih holistik dan bersepadu di mana penjagaan kesihatan mental serta fizikal kanak-kanak OKU diberi perhatian setara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Kolokium OKU 2024: Antara Cabaran, Tekanan dan Distress Kanak-Kanak OKU dan Penjaga Sempena Bulan OKU yang disempurnakan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Pada Kolokium OKU 2024 itu juga Dr. Adam turut membuat perkongsian bertajuk Cabaran Dalam Penjagaan Kanak-Kanak OKU dalam perpektif medikal.

Mengulas lanjut, Dr. Adam turut memaklumkan kesedaran masyarakat terhadap golongan OKU dalam negara masih di tahap yang rendah.

Katanya, data dan fakta tersebut adalah berdasarkan kajian di mana 10 peratus rakyat Malaysia yang tahu mengenai kategori OKU.

Menurutnya, lebih 80 peratus masih tidak cakna dan mempunyai stigma serta tanggapan negatif terhadap golongan OKU.

“Di Malaysia terdapat tujuh kategori OKU yang mana ia membabitkan OKU Kurang Upaya Penglihatan; Kurang Upaya Pendengaran; Kurang Upaya Fizikal.

“Seterusnya, Masalah Pembelajaran; Kurang Upaya Pertuturan; Kurang Upaya Mental dan Kurang Upaya Pelbagai.

“Jadi kita harap masyarakat lebih peka dan tidak hanya menganggap ‘autisme’ sahaja sebagai OKU,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post AKSI ‘MOTORCROSS’ PULA BAKAL GEGARKAN ASAHAN 2025
Next post GADIS ‘BOLLYWOOD’ GEGAR LITAR ASAHAN
Ubah saiz-+=