750 SERTAI CABARAN JORAN MELAKA 2024, TASIK AYER KEROH ‘PORT BAHARU’ MEMANCING
AYER KEROH 22 Disember – Seramai 750 peserta menyertai pertandingan memancing pada Cabaran Joran Melaka 2024 sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Tasik Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata penganjuran pertandingan tersebut dilihat mampu menaikkan lagi potensi Tasik Ayer Keroh sebagai lokasi pelancongan riadah.
Katanya, program anjuran bersama MPHTJ yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu turut menerima menarik penyertaan kaki pancing dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
“Hadiah yang ditawarkan pada Cabaran Joran Melaka 2024 ini berupa wang tunai bermula tempat pertama hingga ke 100. Juara membawa pulang wang tunai RM7,000; tempat kedua RM 2,000 dan ketiga RM1,000.
“Sebenarnya kita menerima banyak penyertaan saat akhir, ramai juga yang minta untuk masuk namun lokasi sekitar ini terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Cabaran Joran Melaka 2024 di Tasik Ayer Keroh.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata pihaknya menerima banyak cadangan daripada peserta untuk laksana pertandingan seumpa ini pada tahun hadapan.
“Pada tahun 2025, kita akan merancang untuk laksana program memancing berskala besar.
“Melihat ramai peserta teruja, boleh dikatakan ramai yang baharu tahu Tasik Ayer Keroh ini dibenarkan memancing dan mungkin ia akan jadi ‘port mancing’ terbaharu dalam negeri,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.