Sorting by

×

MELAKA TAWAR DIRI JADI TUAN RUMAH KEJOHANAN RALI ASIA PASIFIK

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

ASAHAN 21 Disember – Melaka sedia menjadi tuan rumah Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun hadapan bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata hasrat tersebut adalah rentetan kejayaan membawa penganjuran Rally Of Asahan 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, penganjuran yang disertai peserta dari beberapa buah negara itu sekali gus membuktikan Melaka berupaya menjadi tuan rumah dalam acara sukan permotoran antarabangsa.

“Ini julung-julung kali kejuaraan ‘Rally’ dianjurkan di Melaka dan berlaku pula di DUN Asahan, saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Malaysia International Rally Championship (MIRC) serta Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), agensi-agensi kerajaan dan swasta yang menjayakan kejuaraan ini.

“Saya turut dimaklumkan oleh pihak penganjur ada satu kejohanan yang akan dianjurkan di peringkat Asia Pasifik, jadi saya selaku tuan rumah di DUN Asahan ini ingin menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bersempena WTD 2025 yang akan dianjurkan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan perasmian ‘Flag Off’ Kejuaraan Rally Of Asahan 2024 di perkarangan Japerun Asahan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd. Khalil; Ketua Pengarah MIRC Mohamad Khafey Ikhwan serta Pengarah Acara (Korporat) MIRC Datuk Dr. Stanley Chew.

Img 20241221 215358 472
FAIRUL Nizam dan kenamaan bergambar bersama peserta Rally Of Asahan 2024. Foto Iqmal Haqim Rosman

Fairul Nizam memaklumkan, Rally Of Asahan membabitkan penyertaan seramai 21 peserta dari dalam serta luar negara dan perancangan merealisasikan kejuaraan tersebut sudah bermula sejak awal tahun ini.

“Peserta majoriti adalah daripada dalam negara, kerana mereka sudah enam tahun tidak berlumba sejak tahun 2018, malah ada peserta dari luar negara iaitu India dan Indonesia.

“Perbincangan awal berlaku daripada awal tahun lagi, apabila pihak MIRC datang dan saya menawarkan diri untuk membantu serta menjadi tuan rumah, namun ada pihak perlu kita hormati iaitu pihak MAM, yang mana kami perlu dapatkan pandangan dari segi teknikal daripada mereka dan akhirnya dapatlah kejuaraan ini dapat direalisasikan,” jelasnya.

Untuk rekod, peserta Rally Of Asahan akan menempuh beberapa laluan berliku di kawasan Felda Tun Ghafar, Bukit Senggeh dan Estet Nyalas, Kampung Gubah melibatkan sebanyak sembilan ‘special stages’.

Selain berkonsep perlumbaan, acara itu juga menjadi platform mempromosi sektor pelancongan di Asahan yang memiliki panorama memukau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post MIHF’24: ANGKAT MARTABAT ‘FESYEN SANTUN’
Next post MIHF’24 MEDAN BANTU USAHAWAN TEMPATAN DAPAT SIJIL HALAL
Ubah saiz-+=