Sorting by

×

BANTUAN PERSEKOLAHAN MAIM AMAT BERMAKNA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BUKIT KATIL 21 Disember – “Tanpa bantuan persekolahan ini memang sukar dan buntu untuk kami kumpul wang membeli kelengkapan serta membuat persiapan sekolah anak-anak,” kata Noraisahbee Raja Patel Othman Shah, 44.

Dua anak Noraisahbee masing-masing berusia 11 dan 13 tahun antara 4,921 penerima Bantuan Program Jom Ke Sekolah Bagi Anak-Anak Asnaf Fakir, Miskin Dan Mualaf Daerah Melaka Tengah Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2025.

Menurut suri rumah itu, dengan bantuan persekolahan yang diterima, kesemua keperluan dan kelengkapan dua anaknya itu sudah siap dibuat.

Katanya, pendapatan suaminya yang hanya bekerja sebagai buruh membuatkan sumber kewangan mereka sekeluarga agak terbatas terutamanya menjelang sesi persekolahan baharu.

“Perasaan saya dan suami memang lega kerana perkara mustahak untuk kami sudah selesai, dengan bantuan sebanyak RM350 untuk seorang anak, kedua-duanya sudah siap sepenuhnya.

“Jika kami sendiri perlu uruskan rasanya agak lambat untuk membuat persiapan sekolah anak-anak, cuma selepas ini saya dan suami perlu kumpul duit untuk bayaran yuran termasuk buku sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Program Jom Ke Sekolah Bagi Anak-Anak Asnaf Fakir, Miskin Dan Mualaf Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2025, di Dewan Datuk Demang Husin, di sini, hari ini.

Program itu telah disempurnakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Noraisahbee berkata, mereka sekeluarga amat bersyukur apabila bantuan persekolahan sesi 2025 meningkat sebanyak RM50 berbanding RM300 tahun sebelumnya dan jumlah itu amat memadai.

“Syukur sangat apabila tahun ini kami diberitahu ada tambahan terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang sentiasa menghulur tangan membantu asnaf seperti kami.

“Kami penerima amat berbesar hati kerana diberi layanan amat baik malah kelengkapan yang disediakan berkualiti selain semuanya ada tersedia, kami hanya perlu datang memilih apa yang diperlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post LEBIH BANYAK NASKHAH AGUNG DIPENTASKAN
Next post IKAN APA JUARA DI TASIK AYER KEROH ESOK?
Ubah saiz-+=