MELAKA SEDIA PERKASA PELANCONGAN HALAL
AYER KEROH 21 Disember – Melaka bakal dikenali sebagai destinasi pelancongan halal dunia dengan memperkasakan kepelbagaian produk halal bukan sahaja dalam sektor makanan, bahkan lebih meluas daripada itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia memandangkan industri halal kini semakin berkembang dan mendapat permintaan di seluruh dunia, justeru, ia perlu dimanfaatkan Negeri Melaka yang terkenal sebagai sebuah negeri pelancongan.
Jelas beliau, antara sasaran utama Kerajaan Negeri adalah mengetengahkan produk pelancongan yang mempunyai sijil halal supaya ia dapat memberi lebih keyakinan kepada pelancong, khususnya yang beragama Islam.
“Seperti yang semua tahu, kapal persiaran Genting Dreams telah pun memulakan produk halal di kapal persiaran tersebut menyebabkan ia kini menjadi pilihan ramai pelancong yang beragama Islam untuk menikmati pelayaran hebat tersebut yang juga singgah di Negeri Melaka.
“Oleh sebab itu, Negeri Melaka juga perlu menyambut usaha yang sama dengan mengangkat produk pelancongan halal.
“Halal ini bukan sahaja membabitkan makanan, bahkan turut merangkumi pelancongan, perindustrian, kesihatan dan pelbagai lagi yang boleh dijenamakan sebagai produk halal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF’24) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Md Shameem Ahsan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, MIHF’24 yang dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi MAIM Holdings disifatkan sangat berjaya dalam memperkenalkan Melaka sebagai antara hab halal dunia.
Jelas beliau, ia bukan sahaja menggalakkan pasaran halal domestik, bahkan turut berjaya menarik minat beberapa buah negara seperti Bangladesh, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Taiwan, Nigeria dan Vietnam yang bersama-sama memberi sokongan terhadap industri halal di Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.