LEBIH BANYAK NASKHAH AGUNG DIPENTASKAN
AYER KEROH 21 Disember – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka menterjemahkan naskhah karya agung yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam pentas teater muzikal.
Karya agung itu bertajuk Sulalat ‘Us Salatin : Kemaharajaan Maritim Selat Melaka yang dipentaskan dalam bentuk teater muzikal bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang salasilah raja-raja Melayu suatu ketika dahulu.
Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Elias berkata pementasan karya agung itu memerlukan satu tempoh yang lama bagi mengkaji dengan lebih mendalam sehingga ia dijadikan dalam bentuk teater muzikal.
“Kita di Melaka mahu ambil sesuatu yang orang jarang tahu, setelah mengkaji karya ini dalam tempoh yang agak lama, saya sanggup menginspirasikan karya agung ini walaupun terdapat banyak kontroversi.
“Apabila kita buat dalam bentuk teater begini, kita mengajak orang ramai atau golongan muda menghayati karya ini, rugi kalau kita tidak dalami karya ini kerana dalamnya penuh dengan falsafah dan tinggi nilai estetikanya.
“Kita lihat anak-anak muda hari ini gemar membaca naskhah dari luar negara, sepatutnya mereka ini menghayati naskhah kita yang mempunyai imaginasi yang lagi hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pementasan muzikal Karya Agung Purbawara Muzikal : Sulalat ‘Us Salatin – Kemaharajaan Maritim Selat Melaka di Auditorium JKKN Melaka di sini, malam tadi.
Pementasan muzikal itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Tambah Ezlina, JKKN Melaka akan terus mengetengahkan karya agung seperti ini untuk dibawa dalam bentuk pementasan muzikal.
“Kita mahu orang ramai suka tentang karya agung yang mempunyai nilai sejarah, jadi ini tanggungjawab kita untuk mengetengahkan lebih banyak naskhah seperti ini di pementasan berbentuk teater muzikal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.