PERSATUAN FISIOTERAPI MUCM DEKATI KOMUNITI MELAKA
AYER KEROH 21 Disember – Langkah proaktif Manipal University College Malaysia (MUCM) mewujudkan MUCM Physiotherapy Student Association (MUPA) secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajarnya mendekati komuniti di negeri ini.
Presiden Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA), Prof. Dr. Mohd Haidzir Abd Manaf berkata, kewujudan persatuan itu sekali gus mendidik para pelajar MUCM untuk menjadi pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.
“Ini adalah inisiatif dan kreativiti pelajar serta pihak universiti sendiri dalam melaksanakan program bersesuaian yang memberi manfaat kepada warga MUCM dan komuniti sekitar Melaka.
“Selain kemahiran merawat, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran membina perhubungan, ini adalah cabaran bagaimana para pelajar menjadi pemimpin khususnya dalam bidang fisioterapi.
“Kita lihat pihak universiti sendiri menyokong bidang ini dengan mewujudkan persatuannya dan MUMC ini dikira antara universiti terawal yang mewujudkan persatuan ini,” katanya selepas melancarkan MUPA di MUCM.
Hadir sama Naib Canselor MUCM, Prof. Dr. Patrick Kee Peng Kong; Pro Naib Canselor MUCM, Prof. Dr. Adinegara Lutfi Abas; Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Dr. Abdul Rashid Ismail; Pendaftar, Dr. S. Sumathi; Ketua Bahagian Perkhidmatan Pelajar, K. Dachaini; Ketua Jabatan Program Fisioterapi MUCM, P. Vinothini; Penasihat MUPA, Noor Izzati Azhar; Presiden MUPA, N. Savvitha.
Menurut Prof. Dr. Mohd Haidzir, kewujudan persatuan itu juga dapat membentuk karakter seorang pelajar supaya menyesuaikan diri dengan kepelbagaian budaya dan bangsa di negeri ini.
“Pelajar MUCM boleh memahami keperluan komuniti setempat dan mendidik mereka bagaimana untuk berkomunikasi dengan penduduk walaupun berlainan bangsa.
“Hampir semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) di negara kita ini mempunyai persatuan pelajarnya, cuma bagi saya Manipal ini adalah antara universiti yang awal wujudkan persatuan ini.
“Jadi ini peluang yang bagus untuk mereka belajar dan kenali antara satu sama lain biaprun mempunyai kepelbagaian bangsa. Saya yakin selepas ini lebih ramai pemimpin dilahirkan daripada MUCM,” katanya.
Ketahui berkenaan program Fisioterapi MUCM di laman web www.manipal.edu.my atau hubungi di talian 1700-811-662. Pengambilan 2025 kini dibuka!
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.