MELAKA LAKSANA PEMUTIHAN NELAYAN, BATAL LESEN ‘ALI BABA’
TANJUNG BIDARA 20 Disember – Kira-kira 20 peratus lesen nelayan di negeri ini dibatalkan Jabatan Perikanan Negeri Melaka menerusi pelaksanaan pemutihan yang dilakukan sepanjang tahun ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu dibuat selepas mendapati individu yang memegang lesen itu tidak lagi melakukan kerja nelayan malah ada yang ‘dialibabakan’.
Jelasnya, Kerajaan Negeri serius melaksanakan pemutihan kerana memandang bahawa hak nelayan ini perlu diberikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Ini tidak adil jika mereka yang mempunyai lesen tetapi tidak turun ke laut atau melakukan kerja nelayan tetapi menerima bantuan dan subsidi seperti nelayan lain. Kita mahukan mereka yang benar-benar melakukan kerja nelayan dapat menikmati hak mereka.
“Apabila pemutihan ini dibuat ada kira-kira 20 peratus yang terkesan ia termasuk ada yang tidak turun ke laut dan lesen dialibabakan selain proses pemutihan ini ia tidak akan terhenti di sini malah akan diteruskan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyampaian Bayaran Sagu Hati Ex-Gratia Kepada Nelayan Terjejas Akibat Cadangan Pembangunan Pelabuhan Antarabangsa KLIP Fasa 2 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan Pengerusi KLIP Tan Sri Datuk Seri Dr. Noormustafa Kamal Yahya.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, dengan pembatalan lesen itu, ia sekali gus membuka ruang atau kuota kepada nelayan yang masih menunggu atau tiada lesen tampil memohon kekosongan yang ada.
“Apabila kita melakukan pemutihan ini misalnya di Kuala Linggi sahaja terdapat 48 orang yang nelayan yang tidak aktif jadi kuota ini kita akan gunakan untuk memberi peluang kepada mereka yang layak.
“Jadi nelayan yang layak tidak perlu lagi menunggu kuota tambahan atau kematian untuk tampil memohon,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.