BADAL HAJI UNTUK ALLAHYARHAMAH CIKGU DAHLIA
TANJUNG BIDARA 20 Disember – “Wang hasil manfaat insurans yang diterima ini saya akan gunakan bagi membiayai kos badal haji buat arwah isteri. Semasa hayatnya arwah pernah menyatakan hasrat untuk menunaikan haji.
“Namun semua itu tidak kesampaian, sekarang badal haji untuk arwah adalah satu keutamaan perlu saya selesaikan,” kata Zul Sham Mahat, suami kepada Allahyarhamah Cikgu Dahlia Ahmad, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Jun lalu.
Terdahulu Zul Sham menerima serahan manfaat skim perlindungan insurans berkelompok disediakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.
Dalam keadaan sebak Zul Sham berkata, manfaat perlindungan insurans berjumlah RM306,973.24 itu juga akan dimanfaatkan untuk kegunaan lima anaknya termasuk yang masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Arwah tidak pernah maklumkan kepada saya bahawa dia ada mencarum skim insurans disediakan oleh NUTP, jadi saya langsung tidak menjangkakan akan memperoleh manfaat ini.
“Semua sudah kehendak Allah SWT, wang ini akan dimanfaatkan untuk zuriat kami terutama anak berusia 14 tahun yang menghidap austime,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Manfaat Insurans Kepada Waris Allahyarhamah Cikgu Dahlia Ahmad dan Sumbangan Kepada 11 Ahli NUTP di SK Jeram, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah.
Yang turut hadir Presiden NUTP Aminuddin Awang; Naib Pengerusi NUTP, Mubin Minhaj; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Karim Tumin; Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah, Abdul Malek Kassin dan Guru Besar SK Jeram, Samsir A Rawad.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.