5 TEMPAT PALING ‘BEST’ DI SUNGAI MELAKA
SUNGAI Melaka yang turut dikenali sebagai ‘Venice of the East’ merupakan antara destinasi yang sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Selain panoramanya yang indah dihiasi dengan lampu berwarna-warni serta mural unik, terdapat lima produk pelancongan yang telah dibangunkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di sekitar Sungai Melaka yang boleh dikunjungi pengunjung dan pelancong.
Berikut, Melaka Hari Ini senaraikan lima produk PPSPM yang menjadi ‘nadi’ membangkitkan aura Sungai Melaka:
1. MELAKA RIVER CRUISE
Melaka River Cruise menjanjikan pengalaman menarik menelusuri Sungai Melaka dari Pengkalan Rama hingga Banda Hilir.
Pelayaran selama 45 minit itu membawa pengunjung menyaksikan sendiri keindahan bangunan bersejarah dan keunikan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan bertaraf dunia.
Selain pakej menaiki bot, PPSPM turut menawarkan produk teksi air atau ‘Melaka Water Taxi’ yang membolehkan pengunjung akses kemana-mana 14 jeti di sepanjang Sungai Melaka untuk ke lokasi pelancongan berhampiran.
Selain itu, turut disediakan pakej Everlasting Love Boat untuk menyambut ulang tahun perkahwinan atau pelbagai sambutan istimewa serta pakej VIP Tun Khalil yang merupakan pakej mewah yang membawa pengunjung menelusuri pelayaran privasi berhawa dingin disertakan dengan kudapan seperti di dalam bilik hotel.
Terbaharu, Melaka River Cruise bakal memperkenalkan satu lagi tarikan baharu iaitu Kapal Mendam Berahi yang merupakan restoran terapung dan mampu memuatkan seramai 30 orang pada satu-satu masa.
2. ECO CRUISE SUNGAI LINGGI
Eco-Cruise Sungai Linggi merupakan produk baharu PPSPM dalam usaha menghidupkan lokasi ekopelancongan di kawasan yang penuh dengan keindahan flora dan fauna sepanjang Sungai Linggi.
Buat pengunjung yang sukakan alam semulajadi, di sinilah tempatnya di mana perjalanan pergi dan balik menaiki bot akan memakan masa hampir tiga jam.
Eco-cruise Sungai Linggi bermula dari Jeti Paya Lebar dan akan singgah ke beberapa ‘checkpoint’ antaranya Taman Lokan, Sabak Arang dan Kota Simpang.
Harga tiket yang ditawarkan untuk pengunjung ke sini adalah RM75.80 bagi dewasa dan RM50.80 untuk kanak-kanak berserta dengan pakej makan di Restoran Terapung Syngai Linggi. Manakala, tanpa pakej makan pula, harga tiket adalah RM50 untuk dewasa dan RM35 kanak-kanak.
3. WINDMILL PINK MARKET
Windmill Pink Market yang terletak di Dataran Pengkalan Rama juga antara produk baharu PPSPM bagi menyediakan ‘port’ santai untuk pengunjung menikmati pelbagai makanan dan produk menarik yang disediakan.
Pasar bertema merah jambu ini turut menyajikan keindahan lampu berwarna-warni yang menaikkan lagi ‘mood’ pengunjung pada waktu malam.
Terdapat lebih 100 peniaga yang menjual pelbagai barangan, makanan serta perkhidmatan kepada orang ramai, selain meja dan kerusi ‘healing’ turut disediakan menjadikan ia sebagai lokasi ideal untuk seisi keluarga.
4. MELAKA FLOATING MARKET
Pasar Terapung Melaka atau ‘Melaka Floating Market’ menjadi satu lagi lokasi santai untuk orang ramai menikmati pelbagai juadah enak seakan berada di Thailand.
Mula dibuka 1 Jun lalu, pasar terapung ini dibuka dari lewat petang hingga awal pagi dan pastinya ia menjadi satu lagi lokasi wajib untuk pelancong yang datang ke Negeri Melaka.
5. TAMAN MINI SUNGAI MELAKA
Taman Mini Sungai Melaka atau ‘Melaka River Park’ menjadi satu lagi tarikan menarik di Sungai Melaka yang wajib dikunjungi.
Ia mula beroperasi pada 5 Ogos lalu, di mana, orang ramai boleh ke sini dengan menaiki perkhidmatan Melaka River Cruise dengan harga pakej istimewa iaitu RM33 bagi penumpang berusia 12 tahun ke atas dan RM23 untuk penumpang 12 tahun ke bawah.
Di sini, terdapat pelbagai tarikan untuk mereka yang gemar bergambar, antaranya Rumah Terbalik, Simulator Helikopter dan beberapa permainan khas kanak-kanak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.