KEMBIRI KUCING DI DEWAN BUKIT BERUANG PADA 27 DISEMBER INI
AYER KEROH 18 Disember – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bakal menganjurkan Program Kembiri Kucing di Dewan Bukit Beruang pada 27 Disember ini.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, program itu bagaimanapun terhad kepada 30 ekor kucing sahaja dengan nilai sumbangan RM50 untuk seekor kucing yang dikembirikan.
Katanya, program tersebut akan berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
“Buat penduduk sekitar yang mahu hadir kita sediakan beberapa prosedur pendaftaran yang mana orang ramai boleh mendapatkan nombor urus setia di laman sosial rasmi MPHTJ di semua platform sosial media.
“Kita mengharapkan penduduk atau mereka yang datang hantar kucing untuk dikembirikan ini memahami syarat serta peraturan program.
“Untuk makluman, mereka perlu mengisi borang pendaftaran menggunakan imbasan QR Kod atau google forms, sekiranya pendaftaran berjaya kod QR pembayaran pula akan dihantar yang mana sumbangan itu akan diberikan kepada Zoo Melaka MPHTJ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, sekiranya semua langkah telah berjaya dilakukan barulah peserta boleh membawa kucing yang mahu dikembiri ke dewan pada tarikh terbabit.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi Suria di talian 0179700964.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.