PENERIMA APC MENTOR KEPADA RAKAN SEKERJA
JASIN 18 Disember – Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada penjawat awam yang melaksanakan amanah dipikul dengan penuh perasaan tanggungjawab.
Bagi menghargai jasa kakitangannya Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menyampaikan anugerah itu kepada 20 penerima yang membabitkan seorang pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta 19 kumpulan pelaksana.
Yang Dipertua MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan berkata penerima APC perlu dilihat sebagai mentor oleh rakan setugas yang lain, sekali gus merealisasikan hasrat untuk mencapai kecemerlangan dan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
“Saya percaya semua ketua jabatan telah melaksanakan penilaian dan pertimbangan sewajarnya bagi memilih penerima APC. Besar harapan saya agar pengiktirafan diberikan ini menjadi pembakar semangat kepada kakitangan MPJ untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang.
“Pengiktirafan ini juga sebagai inspirasi kepada warga MPJ, jabatan dan agensi lain di Negeri Melaka dalam memantapkan lagi ekosistem pekerjaan cemerlang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mohd Shaiful menyampaikan pengiktirafan itu kepada semua kakitangan terbabit pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan MPJ 2024 di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Ketua WHIP Ahli Majlis MPJ, Mohd Hisam A. Rahim dan warga MPJ.
Beliau berharap kakitangan MPJ terus meningkatkan produktiviti diri seiring dengan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan agar wujud persaingan yang sihat demi membentuk organisasi cemerlang.
“Sumber manusia adalah aset penting dalam melaksanakan setiap dasar, agenda dan inisiatif telah dirancang. Jangan anggap bahawa jika tidak terpilih untuk menerima APC, maka kita kurang cemerlang.
“Tanpa mengira jawatan, pangkat dan tugasan, kita semua mempunyai peranan penting dalam melaksanakan amanah yang diberikan demi memastikan hala tuju serta kecemerlangan MPJ.
“Saya harap nilai kerjasama dan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas sentiasa dititikberatkan agar kita dapat mencapai matlamat kecemerlangan kerja, sekali gus menyampaikan perkhidmatan terbaik untuk penduduk di daerah ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.