SENI KEPIMPINAN BERI NILAI TAMBAH KECEMERLANGAN MAHASISWA
LENDU 16 Disember – Aspek kepimpinan dilihat amat penting bagi membantu meningkatkan kecemerlangan mahasiswa dalam memberi nilai tambah ‘soft skill’.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, adalah mustahak bagi golongan mahasiswa untuk mengasah bakat kepimpinan supaya dapat menjadi seorang graduan profesional.
“Kepimpinan meningkatkan seni mengurus dan berani tampil memberi idea, berbahas secara membina.
“Kesemua ini membentuk budaya kepimpinan mahasiswa yang unggul, meninggikan nilai ‘karamah insaniah’,” katanya ketika berucap pada Program Tokoh Menteri Bersama Ketua Menteri Melaka di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi.
Ketua Menteri turut mengingatkan, paradigma kepimpinan mesti seiring dengan falsafah UiTM demi capai kecemerlangan dalam pelbagai aspek.
“Apabila dunia kita mengalami evolusi transformatif, paradigma kepimpinan kita mesti berkembang seiring dengan falsafah UiTM.
“Setiap individu mampu mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu, penerapan nilai-nilai murni dan kemahiran di dalam bidang digital serta teknologi agar menjadi graduan profesional,” katanya.
Pada program tersebut, Ab Rauf turut menyaksikan penyampaian Geran Projek Sejati Madani yang diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni) UiTM; Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah kepada wakil penduduk Taman Seri Sutera, Alor Gajah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.