Sorting by

×

‘UJIAN ALLAH, KUATKAN IKATAN KASIH KAMI’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 19 Disember – Ujian yang dilalui ketika ini tidak sesekali menjadi satu bebanan buat Nurlidaini Jaafar, 38, sebaliknya dianggap sebagai pengikat kasih sayang kepada suami Nasarudin Othman, 37, kini menderita akibat masalah saraf tulang belakang yang serius.

Berkongsi kisahnya, wanita tabah ini berkata, Nasarudin mula dikesan mengalami penyakit saraf tulang belakang pada 2017 dan keadaannya menjadi semakin serius sejak tahun lalu.

Berikutan itu ibu kepada dua anak lelaki berusia 7 dan 15 tahun ini terpaksa berhenti daripada berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Port Dickson, Negeri Sembilan, kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada Nasarudin.

“Sekarang kedua-dua belah tangan suami tidak boleh bergerak, makan dan minum perlu disuap, untuk buang air juga saya kena uruskan. Selepas berhenti kerja saya langsung tidak ada sumber pendapatan dan masalah kesihatan suami pula kini sedang dalam proses dirujuk ke ‘medical board’.

“Setiap bulan saya perlukan sekitar RM3,000 untuk membiayai kos rawatan dan keperluan suami serta perbelanjaan rumah. Kami terpaksa meminjam dan pernah juga saya mengumpul kotak serta tin terpakai untuk mendapatkan wang.

“Antara ikhtiar saya adalah membawa suami ke pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memohon bantuan. Ketika itu saya terpaksa pinjam motosikal jiran kerana kereta kami sudah ditarik berikutan bayaran tertunggak,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Katanya, melihat Nasarudin ketika itu dalam keadaan lemah,pegawai MAIM yang bertugas terus menghulurkan bantuan dan menyalurkan sumbangan mengikut keperluan keluarganya.

Nurlidaini, meluahkan rasa syukur kerana menerima pelbagai sumbangan hasil keprihatinan MAIM seperti bantuan pesakit kronik, persekolahan anak-anak dan kit makanan bulanan.

“Bantuan paling bermakna buat saya adalah sumbangan motosikal daripada MAIM, alhamdulillah selepas ini pergerakan saya menjadi lebih mudah, tidak lagi terlalu bergantung kepada jiran jika perlu ke hospital atau menyelesaikan urusan lain.

“Insya-Allah saya akan terus jaga suami, susah senang kami bersama. Selain MAIM kami juga ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Terdahulu sumbangan motosikal jenis Modenas Kriss itu disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman yang juga Timbalan Pengerusi MAIM pada Program Jom Ke Sekolah Bagi Anak-Anak Asnaf Fakir, Miskin dan Mualaf Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM) Sesi 2025M/1446H di Dewan Datuk Demang Hussin, di sini, 14 Disember lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post PTPTN MELAKA DEKATI MAJIKAN
Next post BANTUAN SEKOLAH ANAK ASNAF, MISKIN, MUALAF DINAIKKAN
Ubah saiz-+=