ARAH KIBLAT TEPAT, SOLAT TENANG, JIWA TENTERAM
AYER KEROH 16 Disember – Solat adalah tiang agama bagi setiap individu Muslim, bukan sahaja perlu dikerjakan mengikut tertib dan rukun, sebaliknya arah kiblat yang tepat ke arah kaabah di Makkah juga mesti diberikan keutamaan.
Meskipun ketika ini orang ramai boleh mencari arah kiblat menggunakan pelbagai aplikasi disediakan di telefon pintar namun kesahihan dan ketepatannya masih diragui.
Berikutan itu umat Islam yang masih ragu-ragu berhubung arah kiblat di kediaman atau premis masing-masing boleh mendapatkan perkhidmatan menentukan arah kiblat disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama Jabatan Mufti Negeri Melaka (JMNM).
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, arah kiblat yang betul juga membantu setiap individu Muslim melaksanakan solat dalam keadaan lebih tenang tanpa sebarang keraguan.
Katanya, berikutan itu MAIM bersama JMNM menyediakan perkhidmatan menyemak, menentukan dan menanda arah kiblat pada kos yang amat berpatutan kepada pemilik kediaman persendirian atau premis komersial termasuk pengusaha hotel.
“Penentuan arah kiblat ini dilaksanakan oleh pegawai MAIM bersama JMNM yang terlatih dan profesional, mereka menggunakan peralatan terkini bagi mengelakkan daripada timbul sebarang keraguan.
“Kepada semua agensi kerajaan, korporat mahupun individu boleh hubungi MAIM atau JMNM untuk mendapatkan maklumat lanjut. Arah kiblat perlu tepat, insya-Allah hati tenang jiwa tenteram, ibadat kita memperoleh pahala,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Shaifulfazlee berkata, pihak berkenaan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ditawarkan itu boleh menghubungi MAIM di talian 06-2837416 atau JMNM di talian 06-2847920/21.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.