Sorting by

×

DULU PENGIKUT, KINI MAMPU CIPTA KANDUNGAN DIGITAL SEHEBAT MHI

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TANGGA BATU 16 Disember – Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd meneruskan usaha berkongsi kepakaran dan kemahiran sebagai pencipta kandungan menerusi Kursus Digital Creator Masterclass (Edisi Jelajah Melaka).

Kursus yang padat berlangsung selama sehari itu menampilkan empat segmen iaitu fotografi, reka grafik, komunikasi berkesan depan kamera dan penciptaan video.

Sebagai media nombor satu rakyat Melaka, kursus itu memberi peluang kepada pengikut MHI yang selama ini hanya menyaksikan kandungan itu di media sosial mempelajari teknik sebenar pembikinan kandungan kreatif.

Bagi peserta, Armieza Md Zaini, 39, kursus itu banyak memberi pendedahan tentang cara memenangi pengikut di dunia media sosial yang kian mencabar.

“Seronok dapat belajar ambil foto dan video dengan cara yang betul. Selama ini selalu tengok video MHI tetapi sekarang dapat mempelajari ilmu kerja di belakang tabir.

“Apabila MHI kongsi ilmu ini, rupa-rupanya banyak lagi yang kita kena belajar,” katanya.

Img 20241215 234135 333
JURUVIDEO dan penyunting Melaka TV ketika kelas pembikinan video pada Kursus Digital Masterclass MHI. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi Arif Azmil Azhar, 21, dia mengakui berbaloi mengikuti kursus bekenaan buat kali pertama, meskipun ada yang beranggapan maklumat itu boleh didapati di hujung jari.

“Sebelum ini banyak menonton video tip dan tutorial di TikTok sahaja kerana untuk menyertai kelas digital agak mahal.

“Syukur saya dapat menyertai kursus digital MHI yang amat berbaloi dan dapat belajar cara pembikinan video dan bercakap dengan lebih yakin depan kamera,” katanya.

Terdahulu, kursus itu dimulakan dengan kelas pengurusan media sosial dikendalikan oleh jurulatih pemasaran jenama yang berpengalaman, Nell Attas.

Img 20241215 234030 757
KELAS Asas Fotografi dikendalikan jurufoto MHI Iqmal Haqim Rosman.

Ia diteruskan dengan kelas asas fotografi dikendalikan Iqmal Haqim Rosman iaitu pemenang Anugerah Emas Fotografi Ketua Menteri Melaka.

Kursus itu turut berkongsi mengenai asas reka bentuk grafik yang disampaikan oleh pereka grafik MHI, Akmal Noorli.

Img 20241215 234354 406
PEREKA grafik MHI Akmal Noorli memberi tip penghasilan reka grafik yang baik kepada peserta. Foto Iqmal Haqim Rosman

Peserta kemudiannya didedahkan dengan teknik komunikasi berkesan di hadapan kamera yang dikendalikan, Faris Haikal Zakaria iaitu pemenang Anugerah Emas Laporan TV Cemerlang Ketua Menteri Melaka.

Kelas terakhir adalah penghasilan video disampaikan Juruvideo dan Penyunting Kandungan Melaka TV, Aufa ‘Izzati Ahmad Zailaini yang pernah terlibat sama dalam produksi filem Airforce The Movie.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

155
Kongsi :
Previous post MAKAN MALAM AMAL KUTIP DANA NAIK TARAF DEWAN SK PAYA RUMPUT TERIMA RM71,404
Next post MARI BERSAMA REALISASIKAN PEMBINAAN PENTAS SK PAYA RUMPUT
Ubah saiz-+=