Sorting by

×

MAKAN MALAM AMAL KUTIP DANA NAIK TARAF DEWAN SK PAYA RUMPUT TERIMA RM71,404

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PAYA RUMPUT 16 Disember – Majlis Makan Malam Amal Sejuta Kenangan yang diadakan bagi mengutip dana untuk menaik taraf Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput berjaya meraih kutipan berjumlah RM71,404.

Majlis itu merupakan cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin, yang juga merangkap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Paya Rumput.

Ia diadakan bagi merealisasikan pembinaan pentas dan pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan seramai 1,373 murid di sekolah berkenaan.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, sebagai bekas murid di sekolah berkenaan beliau berasa bertanggungjawab untuk bersama membantu usaha tersebut sehinggalah ia dapat direalisasikan.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana usaha yang dilakukan ini mendapat sokongan yang amat memberangsangkan sehingga kita berjaya menjual kesemua meja dan meraih kutipan berjumlah RM71,404.

“Ini merupakan sesuatu yang amat membanggakan dan saya berterima kasih kepada semua yang terlibat termasuk ahli jawatankuasa PIBG, guru, ibu bapa dan tidak dilupa kepada Datuk Hattan yang turut bersama membuat persembahan bagi menjayakan makan malam amal untuk kutipan dana ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng.

Hadir sama, Guru Besar SK Paya Rumput Rozahiran Hamzah; wakil Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan lain-lain kenamaan.

Menurut Rais, pembinaan pentas tersebut dianggar menelan kos sekitar RM80,000 dan ia tidak termasuk kerja menaik taraf kemudahan lain bagi keselesaan murid.

“Alhamdulillah kita hampir mencapai sasaran tersebut dan kita amat mengalu-alukan orang ramai untuk terus menyalurkan sumbangan bagi merealisasikan projek menaik taraf dewan di sekolah ini,” ujarnya.

Fb Img 1734275661327
KOD QR untuk menyumbang bagi merealisasikan projek naik taraf Dewan Terbuka SK Paya Rumput.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan sekolah-sekolah lain dalam Negeri Melaka dapat mencontohi usaha yang dilakukan SK Paya Rumput mengutip dana untuk menambah baik fasiliti demi murid-murid.

Jelas beliau, usaha murni hasil sinergi kerjasama di antara pihak sekolah dan PIBG terbukti berkesan dalam memaju serta meningkatkan kualiti pendidikan di setiap sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

77
Kongsi :
Previous post PDRM-KERAJAAN MELAKA JALIN KERJASAMA KURANGKAN KADAR JENAYAH
Next post DULU PENGIKUT, KINI MAMPU CIPTA KANDUNGAN DIGITAL SEHEBAT MHI
Ubah saiz-+=