PDRM SEDIA KAWALAN KESELAMATAN SEMPENA WTD 2025
TANJUNG BIDARA 15 Disember – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia membantu dalam aspek kawalan keselamatan sempena penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) yang akan berlangsung pada September tahun hadapan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM akan bersiap siaga dan menyediakan petugas-petugas keselamatan bagi memastikan penganjuran program bertaraf dunia itu berjalan lancar.
“Daripada segi keselamatan sudah tentu kita akan bersedia membantu sepenuhnya sekiranya terdapat program-program yang perlu pihak polis bersama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan kelancaran acara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Program Kerajaan Negeri Bersama PDRM yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Villa d’Acqua Kampung Pulau, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kanan PDRM serta kenamaan lain.
Sementara itu, Razarudin berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka dalam mengambil berat kebajikan warga PDRM khususnya di Melaka juga membolehkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berpindah ke bangunan baharu.
“Dengan perpindahan itu anggota dan pegawai (dapat) bekerja dalam keadaan yang sangat kondusif dan baik sekarang ini.
“Memandangkan keadaan IPD Melaka Tengah sebelum ini sudah uzur dan tidak lagi sesuai, terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.