MELAKA ANJUR ACARA SUKAN UNTUK PASUKAN BERUNIFORM
TANJUNG BIDARA 15 Disember – Satu acara sukan yang membabitkan pasukan unit beruniform di negeri ini akan diadakan pada awal tahun depan, umum Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, acara itu diadakan bagi menonjolkan kehebatan pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain dalam satu kejohanan sukan yang bakal dianjurkan penuh kemeriahan.
Menurut Ab Rauf, sebanyak 11 acara sukan akan dipertandingkan pada kejohanan itu nanti, selain turut menampilkan beberapa acara sukan rakyat termasuklah dam aji.
“Program ini akan diuruskan oleh Markas 3 Divisyen Kem Terendak, di mana setiap unit beruniform di negeri ini diberi peluang menonjolkan kehebatan masing-masing dalam acara yang akan dipertandingkan nanti.
“Selain pasukan beruniform, kita juga bakal melibatkan rakyat dalam acara ini yang juga berperanan sebagai ‘jambatan’ mengeratkan hubungan pasukan keselamatan dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Program Kerajaan Negeri Bersama PDRM di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM serta kenamaan lain.
Dalam ucapannya, Ab Rauf memaklumkan program Kerajaan Negeri Bersama PDRM itu diadakan sebagai anjakan untuk mempamerkan sisi-sisi kehebatan dan peranan anggota polis dalam menjaga keamanan di negeri ini.
Jelas beliau, melalui program itu juga, barisan kepimpinan tertinggi PDRM bersama pemimpin negeri turut berpeluang menyantuni pesara-pesara polis yang telah banyak menabur jasa dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara selama ini.
Ketua Menteri turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dalam negeri Melaka, selain turut disumbangkan sebuah skuter elektrik untuk kegunaan rondaan polis pelancong di sekitar Banda Hilir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.