KETUA MENTERI, KETUA POLIS NEGARA TUNJUK BAKAT MEMASAK
TANJUNG BIDARA 15 Disember – Program Memasak Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Dan Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka (BISTARI) riuh apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, turut beraksi menunjukkan kepakaran memasak masing-masing dengan menyertai pertandingan berkenaan.
Setiap kumpulan yang dianggotai 10 peserta diberi masa selama kira-kira satu jam bagi menyiapkan tiga menu iaitu kari ikan, kerabu mangga dan bubur cha-cha.
Bersama dengan Ab Rauf mempamerkan kehebatan memasak adalah Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Pegawai Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.
Manakala kumpulan Razarudin disertai antaranya, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Nawawi serta Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Kemeriahan pertandingan diteruskan apabila kumpulan PERKEP dan BISTARI, masing-masing diketuai Pengerusi BISTARI Negeri Melaka, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz dan Pengerusi PERKEP Puan Sri Zainah Othman mengambil alih dapur.
Tiga Chef terkemuka iaitu Chef Sabri Hassan dan Chef Rizwandy Perin menggalas tugas merasai dan memberi markah untuk setiap hidangan yang disediakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.