PTHM TAWAR MOTOSIKAL ELEKTRIK TERMURAH
BANDA HILIR 15 Disember – Rakyat Melaka kini boleh menyokong inisiatif hijau dengan membeli motosikal elektrik yang mesra alam sekitar.
Menariknya, motosikal elektrik itu kini boleh dibeli pada harga termurah menerusi tawaran yang disediakan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM).
Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Ts. Mohd Hafizam Mustaffa berkata, tawaran istimewa itu perlu direbut memandangkan kerajaan telah menyediakan rebat sebanyak RM2,400 menerusi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas).
Jelas beliau, dengan rebat tersebut, orang ramai boleh memiliki motosikal elektrik pada harga kurang RM3,000 selepas potongan rebat tersebut.
“Ini adalah satu tawaran dan peluang terbaik untuk orang Melaka mendapatkan motosikal elektrik pada harga paling murah di Malaysia dengan PTHM.
“Setakat ini, kita telah mengedar lebih 30 buah motosikal elektrik di negeri ini dan sekarang kita yakin ia telah mula menjadi bualan menerusi promosi berterusan yang dilakukan.
“Jadi, kita berharap orang ramai khususnya rakyat Melaka dapat memulakan transisi untuk menggunakan kenderaan elektrik yang lebih jimat, bersih dan tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Ts. Mohd Hafizam, antara kelebihan memiliki motosikal elektrik yang diedarkan PTHM ialah ia boleh dicaj di rumah masing-masing.
Jelas beliau, dengan pengecasan selama lapan jam, motosikal elektrik tersebut boleh mencapai jarak sehingga 100 kilometer.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.