Sorting by

×

MELAKA OPTIMIS PASTIKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT, NEGERI TERPELIHARA

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Disember – Kerajaan Melaka optimis memastikan kesejahteraan negeri dan rakyat terus terpelihara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, beberapa langkah strategik perlu dititikberatkan demi memperkukuh sinergi kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

“Antara langkah tersebut libatkan peningkatan infrastruktur keselamatan yang mana Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan telah menerima peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur keselamatan seperti membina balai polis baharu, menaik taraf kelengkapan sedia ada serta memperluas pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar di kawasan tumpuan awam.

“Kemudian, daripada segi pengukuhan program komuniti, saya menyarankan agar PDRM memperkasa pelaksanaan program seperti rondaan di kawasan-kawasan taman perumahan dan kampung-kampung. Kempen kesedaran jenayah, dialog bersama komuniti bagi merapatkan lagi hubungan antara pihak polis serta masyarakat.

“Selain itu, turut difokuskan ialah pemerkasaan teknologi digital yang mana Kerajaan Negeri komited membina kerjasama dalam bidang teknologi seperti sistem data pintar, dron pemantauan dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menangani jenayah secara lebih cekap dan proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Community Policing Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Majlis Penutupan IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negara; Tan Sri Razarudin Husain, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Azhar Arshad, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri; Datuk Rais Yasin, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri; Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri; Datuk Fairul Nizam Roslan.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri; Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco serta wakil-wakil jabatan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut meletakkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sebagai antara perkara yang difokuskan dalam pelaksanaan Blue Print Melaka Pintar 2035.

“Salah satu daripada tujuh indikator adalah berkaitan keselamatan di mana Kerajaan Negeri Melaka telah memberi komitmen untuk bersama-sama pihak PDRM antaranya ialah menambah jumlah Digital Surveillance Camera, peningkatan jumlah pengguna Volunteer Smartphone Patrol (VSP) mengikut jumlah populasi di negeri ini dan membendung kes jenayah berbanding jumlah kepadatan penduduk.

“Kerjasama jitu antara Kerajaan Negeri Melaka dan PDRM serta rakan-rakan strategik ini tentunya berpotensi menggerakkan usaha ke arah memeta Melaka mencapai penarafan Bandar Pintar pada tahun 2035,” jelasnya.

Sementara itu, dalam program tersebut, turut berlangsung sesi penurunan bendera Malaysia diikuti bendera Melaka dan PDRM sebagai simbolik perpindahan bangunan lama IPD Melaka Tengah.

Pada masa yang sama, turut diadakan Anugerah Khas kepada tiga Mentor PDRM iaitu mantan Ketua Polis Negara yang kelima; Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, mantan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Bukit Aman; Datuk Wira Hamza Taib serta mantan Timbalan Cawangan Khas 1, Bukit Aman; Datuk Ramli Hassan yang disampaikan sendiri oleh Ab Rauf sambil disaksikan Razarudin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

177
Kongsi :
Previous post BANGUNAN IPD MELAKA TENGAH LAMA, DIJADIKAN MUZIUM PDRM
Ubah saiz-+=