Sorting by

×

PERKUKUH SINERGI KERJASAMA MELAKA, PDRM

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Disember – Hubungan akrab antara Kerajaan Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu membentuk kesepaduan dalam memperkukuh sistem penguatkuasaan demi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menegaskan usaha memperkukuh sinergi kerjasama antara Kerajaan Negeri dan PDRM juga penting dalam mengekalkan keamanan yang dikecapi sehingga hari ini.

Menurut Ketua Menteri, Malaysia mengecapi nikmat kehidupan dan suasana penuh aman serta harmoni dengan kekuatan seramai 119,387 orang anggota PDRM termasuk 2,642 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

“Justeru, saya mengambil kesempatan menzahirkan setulus penghargaan kepada seluruh warga PDRM kerana telah menjadi tulang belakang dalam memastikan keamanan
dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

“Sebagai pepatah Melayu berkata, ‘bulat air kerana pembetung, bulat Manusia kerana muafakat’. Saya menyedari betapa besar cabaran dihadapi oleh setiap anggota polis dalam melaksanakan tugasan harian.

“Sesungguhnya, keberanian dan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan semua
sentiasa menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Tidak dilupa juga, penghargaan kepada pahlawan kita yang telah gugur dan terkorban ketika mempertahankan negara, semoga mereka semua ditempatkan bersama para syuhada dan orang beriman serta beramal soleh.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Melaka Bersama PDRM di Villa D’Acqua, Kampung Pulau Masjid Tanah, malam tadi.

Pada majlis itu Ketua Menteri bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz meraikan kepimpinan tertinggi PDRM termasuk tetamu istimewa iaitu Ketua Polis  Negara Tan Sri Razarudin Husin serta isteri Puan Sri Zainah Othman.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar  Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua Jabatan serta agensi Kerajaan  Negeri.

Sementara itu antara kepimpinan tertinggi PDRM yang hadir adalah Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,  Datuk  Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

Ab Rauf berkata, makan malam dianjurkan adalah platform untuk kepimpinan Kerajaan Negeri dan PDRM bertukar-tukar pandangan dalam merancang hala tuju baharu demi meningkatkan mutu keselamatan dan kesejahteraan Melaka.

“Semoga usaha kita bersama ini akan menjadi suri teladan terbaik kepada negeri lain
untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara, sekali gus mencerminkan
komitmen kita dalam menjaga kepercayaan rakyat.

“Saya yakin, seluruh anggota PDRM  dihadapan saya ini memiliki semangat keperwiraan dan jati diri yang teguh untuk berkhidmat kepada negara, sekali gus menjadi pelindung kepada
keselamatan masyarakat.

“Sekali lagi, saya menzahirkan penghargaan yang tulus ikhlas kepada semua anggota polis di atas segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan sehingga hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post 19 NEGARA SERTAI FESTIVAL HALAL ANTARABANGSA MELAKA 2024
Ubah saiz-+=