MELAKA LOKASI STRATEGIK UNTUK PELABUR INDUSTRI AUTOMOTIF
ALOR GAJAH 13 Disember – Kedudukan Melaka yang strategik terletak di antara Kuala Lumpur dan Johor serta Singapura menjadikan negeri ini sebagai lokasi strategik untuk pelabur industri automotif bertapak.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya sedia memberikan sokongan penuh kepada mana-mana pelabur yang ingin menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran kenderaan mereka.
Mengambil contoh kejayaan jenama automotif terkemuka dunia iaitu Honda yang telah mengeluarkan sejuta unit kenderaan di Melaka, selain EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang berjaya memasang 1,000 unit Kereta Cekap Tenaga (EEV) dalam tempoh kurang daripada setahun, Ab Rauf berkata, ia cukup memberi gambaran bahawa industri automotif di Melaka mampu berkembang pesat.
“Mengambil rujukan Honda yang meletakkan keyakinan menjadikan Melaka satu-satunya kilang pemasangan di Malaysia, diikuti EPMB ia menjadi petunjuk bahawa sektor automotif di Melaka telah berkembang.
“Saya yakin bahawa kedudukan Melaka yang strategik dapat memberi nilai tambah kepada pelabur industri automotif pemasangan kereta untuk datang ke negeri ini dan Kerajaan Negeri sedia memberikan sokongan penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Penghantaran Kereta Cekap Tenaga atau Energy Effiecient vehicles (EEV) Ke-1,000 unit oleh Kumpulan EPMB di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer srrta Timbalannya Datuk Zahari Abd Kalil; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pengerusi Eksekutif Kumpulan EPMB Hamidon Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ab Rauf berkata, Melaka juga terbukti mampu menyediakan tenaga mahir yang menepati kehendak pelabur automotif memandangkan negeri ini mempunyai 23 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain telah diangkat menjadi Pusat TVET Negara.
“Kajian juga mendapati, banyak sektor industri berminat untuk bertapak di Melaka kerana kos sara hidup di sini jauh lebih rendah, selain tenaga kerja dari negeri ini juga taat dan setia sehingga boleh bertahan hingga tiga generasi di syarikat yang sama.
“Selain itu, faktor demografi Melaka yang tidak jauh iaitu maksimum 45 minit masa perjalanan untuk ke satu-satu lokasi juga menyebabkan sektor industri di negeri ini terus menjadi pilihan.
“Malah, kebergantungan terhadap pekerja asing di Melaka juga rendah iaitu sekitar tiga peratus sahaja memandangkan tenaga kerja yang ada di negeri ini sudah cukup berkualiti untuk sesebuah syarikat,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.