Sorting by

×

SYARIKAT ITALI KEDUA PILIH MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELABURAN

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

JASIN 13 Disember – Melaka terbukti sebagai sebuah destinasi mesra pelaburan apabila EDA Malaysia Industries Sdn Bhd berpangkalan di Itali, memilih negeri ini untuk membuka sebuah lagi kilang mengeluarkan produk semikonduktor.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kilang di Kawasan Perindustrian Jasin, itu adalah kemudahan pengeluaran kedua milik EDA Malaysia Industries di negara ini selepas Tangkak, Johor.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, lokasi itu amat bersesuaian dalam memenuhi permintaan terhadap ‘burn-in and test equipment’ yang semakin meningkat ketika ini.

“EDA Malaysia Industries adalah sebahagian daripada kumpulan Itali dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang semikonduktor, mereka mula bertapak di Tangkak pada 2017. Pembukaan kemudahan pengeluaran baharu mereka di Negeri Melaka melibatkan pelaburan bernilai lebih RM80 juga.

“Teknologi ‘burn-in and test equipment’ ini sangat penting untuk memastikan kebolehpercayaan peranti semikonduktor dalam sektor automotif, biomedikal, telekomunikasi dan aeroangkasa.

“Kami berbangga kerana EDA Industries memilih Melaka sebagai pusat operasi mereka. Pencapaian ini menjadikan EDA sebagai syarikat milik Itali kedua yang melabur di Melaka,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian EDA Industries di Kawasan Perindustrian Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pengasas dan Presiden EDA Group, Fortunato Palella serta Ketua Pegawai Eksekutif EDA Itali, Christina.

Whatsapp Image 2024 12 13 At 1.03.37 Pm

AB Rauf, Khaidhirah (tengah) dan Fortunato melihat produk dihasilkan di kilang EDA Malaysia Industries.

Ab Rauf berkata, biarpun negeri ini kecil namun lebih 10 negara telah memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mewujudkan persekitaran mesra pelabur yang menyokong perniagaan global.

“Malah Kerajaan Negeri komited memperluaskan pertumbuhan industri semikonduktor dengan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan mengukuhkan keupayaan rantaian bekalan.

“Justeru, Kerajaan Negeri Melaka akan terus memberi jaminan dan sokongan penuh kepada EDA Malaysia Industries dalam sektor ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1213
Kongsi :
Previous post 48 PASUKAN FUTSAL BAKAL BERENTAP, REBUT PIALA YDP MPHTJ
Next post SUMBANGAN BAWA SENYUMAN – KM