PUTRA 2 BAKAL RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN KESIHATAN MELAKA
SERI NEGERI 12 Disember – Pembinaan Putra Specialist Hospital 2 yang lengkap sebagai sebuah fasiliti hospital pakar akan merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan kesihatan di Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan Putra Specialist Hospital 2 atau PUTRA 2 itu dijangka akan dibangunkan di Bukit Beruang yang hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dari Plaza Tol Ayer Keroh.
“Kerajaan Negeri berhasrat untuk membina sebuah fasiliti hospital pakar baharu yang akan memberi impak khususnya dalam perkhidmatan perubatan.
“Putra Specialist Hospital 2 ini bakal dibangunkan di kawasan berkeluasan 8.8 hektar selain Pelan Perancangan Pembangunan PUTRA 2 sedang giat diusahakan dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri selaku pemegang saham terbesar.
“Kerja-kerja akan dimulakan pada tahun hadapan dan dijangka siap dalam masa tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Strategik Antara Putra Specialist Hospital Dan IJN Holdings Sdn. Bhd. Dalam Penyediaan Perkhidmatan Kardiologi Dan Pembedahan Kardiotorasik Di Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Timbalannya, Siti Faizah Abdul Azis.
Turut hadir, Pengerusi IJN Holdings Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut mempelawa IJN untuk bersama dengan Putra Specialist Hospital berkolaborasi dalam menyediakan tenaga pakar sebagai memudahkan pesakit jantung khususnya di selatan tanah air dan penduduk Kepulauan Riau, Indonesia mendapatkan rawatan terbaik.
“Sekiranya IJN mempunyai perancangan untuk membesarkan empayar mereka di sebelah selatan, Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama yang penuh bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dalam semua disiplin ada di Melaka.
“Kerajaan Negeri turut berharap bahawa kemudahan hospital-hospital pakar dalam bidang jantung ini dapat diadakan di Melaka.
“Ini kerana Melaka mempunyai potensi yang cukup besar bukan sahaja dalam bidang pelancongan tetapi juga pelancongan kesihatan dan kerjasama ini ia akan menjadi satu nafas baharu kepada lebih banyak inisiatif bersama yang akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat, ekonomi serta kesihatan di Melaka mahupun Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.