5 PELAN STRATEGIK URUS BANJIR DI MELAKA
LENDU 12 Disember – Kerajaan Negeri menggariskan lima pelan strategik dalam menguruskan masalah banjir yang berlaku di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, memandangkan pengurusan dan pengurangan risiko banjir ini adalah satu isu ‘cross-cutting’ melibatkan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, ia memerlukan penggemblengan usaha dan kerjasama yang terselaras serta menyeluruh.
Memandang serius bencana banjir yang memberi impak negatif dan bebanan kepada rakyat, Ketua Menteri memaklumkan pelan pertama adalah menguruskan sistem saliran dengan lebih baik.
Menurut beliau, sistem saliran seperti parit, saluran air, longkang perlu dipastikan berfungsi dalam keadaan baik untuk mengalirkan air hujan dengan lebih efektif serta mengawal penyumbatan.
Jelas beliau, pelan kedua adalah melaksanakan kajian terperinci melalui kajian risiko banjir, di mana ia penting untuk memahami kawasan yang berisiko tinggi, selain menyediakan peta risiko banjir yang memudahkan perancangan dan penyusunan tindakan.
“Pelan strategik ketiga adalah penanaman pokok dan penutupan tanah yang dapat membantu menyerap air hujan, diikuti pelan keempat iaitu memastikan pengurusan sisa yang baik untuk mengelakkan penyumbatan saliran dengan sampah yang boleh menyebabkan banjir.
“Pelan terakhir adalah dengan memperkasa sistem amaran banjir dengan lebih efisien menggunakan teknologi untuk memberi peringatan awal kepada penduduk yang berisiko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Hotspot Banjir Kawasan Masjid Tanah di Dewan Japerun Lendu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta ketua-ketua jabatan, agensi dan kenamaan lain.
Dalam ucapannya, Ab Rauf turut menyarankan agar sistem amaran banjir Melaka dapat dihebahkan menerusi platform Telegram Kerajaan Negeri yang giat digunakan pada masa kini.
Jelas beliau, hebahan itu amat penting supaya rakyat dan agensi terbabit dapat bersiap siaga.
“Ini merupakan pendekatan paling terbaik bagi memastikan komunikasi kepada rakyat sentiasa diutamakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.