ROTI CANAI, TEH TARIK 50 SEN DI RESTORAN HABEEB SULTAN
BUKIT BARU 11 Disember – Cuma belanja RM1, pelanggan berkunjung ke Restoran Habeeb Sultan, Bukit Baru boleh menikmati teh tarik dan roti canai untuk sarapan pagi.
Pemilik restoran, Syed Nizam Habeeb Sultan berkata, promosi dimulakan sejak pertengahan November lalu itu bagaimanapun hanya sah dari jam 8 hingga 10 pagi pada setiap Khamis sahaja.
Katanya, tawaran harga ‘tidak masuk akal’ iaitu 50 sen untuk teh tarik dan 50 sen untuk roti canai adalah bersempena sambutan ulang tahun ke 50 tahun restoran itu yang diwarisi daripada arwah ayahnya.
“Bagi menghargai pelanggan setia yang tidak jemu memberi sokongan sehingga Restoran Habeeb Sultan mampu bertahan sampai lima dekad (50 tahun), kami tampil menawarkan harga istimewa ini.
“Tawaran harga 50 sen untuk teh tarik dan 50 sen untuk roti canai ini diteruskan hingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Jika boleh kita mahu pelanggan menikmati sarapan pagi dengan harga hanya 50 sen.
“Jadi semua dijemput ke Restoran Habeeb Sultan, bersebelahan Petronas Bukit Baru, hanya satu sahaja di Melaka, kami tidak mempunyai cawangan lain,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Restoran Habeeb Sultan, di Bukit Baru, hari ini.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, selain dua menu sarapan pagi itu, pihaknya turut menawarkan diskaun 20 peratus bagi hidangan ‘signature’ yang diilhamkan arwah bapanya iaitu Nasi Sultan.
“Potongan 20 peratus untuk Nasi Sultan juga kita tawarkan setiap hari Khamis bermula jam 11 pagi hingga 4 petang, pada hari biasa set nasi berlauk sotong dan pari itu dijual dengan harga RM12.
“Selain itu ada juga tawaran diskaun sebanyak 10 peratus untuk hidangan lauk pauk lain. Menerusi tawaran ini kami berharap ia bukan hanya memberi manfaat kepada pelanggan khusus mereka yang kurang berkemampuan tetapi berkeinginan untuk menikmati hidangan istimewa di Restoran Habeeb Sultan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.