SKSPS BERI BANYAK FAEDAH KEPADA PENCARUM
MERLIMAU 12 Disember – Dianggarkan cuma 15,000 individu di seluruh Negeri Melaka yang bekerja sendiri tampil mencarum menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) setakat November lalu.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, Nur Mohammad Bakhtiar Mohamad Akhir berkata, angka yang direkodkan itu masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah orang bekerja sendiri (OBS) seluruh Melaka.
“Sejak Januari hingga November kira-kira 85 peratus OBS di Melaka sudah mendaftar menerusi SKSPS namun ianya masih rendah. Berikutan itu saya berharap agar lebih ramai yang tampil dan mendaftar menerusi SKSPS ini, ia sebagai jaringan perlindungan pilihan.
“Caruman ini penting sebagai perlindungan daripada risiko kemalangan, penyakit, kecacatan dan kematian selain sokongan kewangan apabila memerlukan sekiranya ditimpa musibah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Ziarah Prihatin terhadap keluarga pemandu teksi yang rentung dalam kemalangan di Kampung Lanchang, di Taman Muhibah, pada Selasa.
Menurutnya, sejak Januari hingga November, lebih RM900,000 sudah dibelanjakan PERKESO Melaka bagi membayar faedah SKSPS kepada pencarum yang ditimpa musibah.
“Bayaran sebanyak RM912,076 itu dikeluarkan bagi pembayaran manfaat faedah Hilang Upaya Sementara (HUS), Hilang Upaya Kekal (HUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) membabitkan kes keseluruhan sebanyak 221.
“Pembayaran faedah bagi HUK yang tertinggi direkodkan dengan jumlah RM463, 731 membabitkan 39 kes dan sebanyak RM419, 032 pula digunakan bagi bayaran HUS dengan jumlah 164 kes,” katanya.
Jelasnya, jika dibandingkan manfaat yang diterima dengan jumlah caruman dikenakan ia dilihat tidak membebankan malah selain pencarum, waris juga akan menerima faedah sekiranya berlaku kemalangan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.