Sorting by

×

PASANGAN KEKASIH AKTIF CURI TABUNG DERMA DICEKUP

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 10 Disember – Pasangan kekasih dicekup polis kerana disyaki aktif dalam kegiatan mencuri tabung derma madrasah dan anak yatim sekitar Melaka dan Johor, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek masing-masing berusia 33 dan 35 tahun itu dicekup di sebuah kondominium di Klebang kira-kira jam 12.10 tengah malam, pada 4 Disember lalu.

Katanya, hasil daripada risikan yang dijalankan dan berdasarkan maklumat awam sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama anggota dari Balai Polis Tengkera membuat serbuan ke premis terbabit.

Katanya, ketika serbuan ke kondominium terbabit, pasukan polis menemukan sebanyak 54 buah tabung derma.

“Kedua-dua suspek ini dipercayai aktif mencuri tabung derma madrasah dan anak yatim yang diletakkan di kedai-kedai makan sekitar Melaka dan Johor, sejak dua tahun lalu.

“Modus operandi suspek adalah, mereka dikatakan akan ke kedai mahupun warung yang diletakkan tabung lalu berpura-pura sebagai wakil dari madrasah atau rumah anak yatim untuk mengambil tabung derma.

“Dengan cara memperdaya, pasangan itu didakwa berjaya memperoleh kira-kira RM250 sehari dan anggaran kesemua wang yang diperoleh lebih RM10,800,” katanya.

Menurut Christopher, selain tangkapan keatas suspek, polis turut merampas sebuah kenderaan dan pemotong besi selain turut dijumpai semasa serbuan adalah ketulan mampat dedaun hijau dipercayai ganja.

“Semakan dilakukan turut mendapati suspek masing-masing mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dadah dan jenayah.

“Dengan tertangkapnya pasangan ini kami membuka, sebanyak empat kertas siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tiga mengikut Seksyen 6 dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta satu di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, ini menjadikan kesemua kertas siasatan yang dibuka adalah lapan,” katanya.

Jelasnya, suspek kini direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak polis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

262
Kongsi :
Previous post TAMBAH KEANGGOTAAN SRS, TINGKAT KESELAMATAN KOMUNITI
Next post TERUSKAN MELAKA BILA LARUT MALAM
Ubah saiz-+=