Sorting by

×

LEBARKAN LONGKANG, TINGGIKAN JAMBATAN, TANGANI BANJIR BERULANG BUKIT ANTU

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

REMBIA 11 Disember – Langkah proaktif telah diambil Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan dalam menangani isu banjir berulang di Jambatan Bukit Antu, di sini.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, berkata Japerun Rembia, agensi serta jabatan berkaitan mencapai persetujuan bagi mencari solusi kepada masalah banjir kerap berlaku sekitar Bukit Antu.

Katanya, perancangan projek mitigasi banjir untuk langkah masa panjang itu sedang menunggu peruntukan segera untuk dilaksanakan.

“Sistem pengairan khusus parit akan didalamkan lagi selain dinaik taraf menggunakan konkrit supaya lebih lebar. Sementara itu jambatan Bukit Antu akan ditinggikan bagi melancarkan aliran air setiap kali hujan.

“Peruntukan juga sudah diminta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk laksanakan kerja-kerja penambahbaikan demi keselesaan rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fairul Nizam, turut memaklumkan beliau bersama wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) serta wakil penduduk telah mengadakan perbincangan bagi mencari solusi berhubung isu banjir di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata menurut laporan JPS negeri, sekiranya peruntukan disegerakan, kerja-kerja mengatasi masalah banjir dijangka siap pada tahun hadapan.

“Kos kerja-kerja ini dijangka lebih RM300,000 dan penduduk memaklumkan setakat ini sudah enam kali kawasan itu dilanda banjir, mereka juga sudah lali dengan isu yang seperti tiada penghujungnya.

“Namun saya komited dalam memastikan isu banjir ini dapat diselesaikan segera dan diberi keutamaan agar penyelesaian jangka panjang dilaksanakan demi keselesaan serta keselamatan penduduk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post TERUSKAN MELAKA BILA LARUT MALAM
Next post HADIAH KESELURUHAN RM50,000 MENANTI PESERTA LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONGKITA
Ubah saiz-+=