Sorting by

×

PERKESO RINGANKAN BEBAN BALU SUBRAMANIAM 

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat
MERLIMAU 10 Disember – Balu kepada pemandu teksi yang rentung dalam kemalangan di Kampung Lanchang, Jalan Jasin Merlimau, di sini, akhir bulan lalu, lega apabila menerima dua faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO negeri, Nur Mohammad Bakhtiar Mohamad  Akhir berkata, mendiang S Subramaniam, 71, seorang pencarum aktif yang berdaftar menerusi Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) dan berikutan itu balunya K Pachaiyammah, 75, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM).
“Hasil semakan PERKESO mendapati mendiang adalah pencarum yang aktif dan siasatan dijalankan berhubung insiden yang menimpa mendiang memutuskan kes adalah sebagai Bencana Kerja.
“Jadi susulan itu isterinya layak menerima FOT berjumlah RM837 sebulan yang mana bayaran pertama telah dibuat pada 9 Disember (semalam).
“Selain itu, bayaran turut dibuat kepada keluarga bagi FPM sebanyak RM3,000,” katanya selepas mengadakan Ziarah Prihatin bersama Skuad PERKESO Prihatin (SPP) di kediaman Pachaiyammah di Taman Muhibah, hari ini.
Sementara itu, anak mendiang S Saravanan, 38, berkata, dengan bayaran faedah yang diperoleh secara bulanan ia secara tidak langsung dapat membantu membiayai perbelanjaan harian ibunya.
“Rupanya banyak faedah yang diperoleh daripada caruman yang dibuat oleh mendiang ayah. Sekurang-kurangnya ini akan membantu perbelanjaan ibu nanti dan terima kasih kepada semua pihak termasuk PERKESO yang sudi membantu memudahkan urusan,” katanya.
Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, pada hari kejadian ayahnya keluar seperti biasa pada jam 7.30 pagi sebelum mereka sekeluarga diberitahu tentang kejadian kira-kira 9.30 pagi.
“Sikap ayah seperti biasa, langsung tidak menunjukkan perubahan cuma sebelum sambutan Deepavali baru-baru ini dia ada menyuarakan kebimbangan tentang rumah
apabila dia sudah tiada.
“Malah sebelum ini kami adik-beradik ada meminta ayah untuk bersara daripada membawa teksi memandangkan umurnya sudah lanjut tetapi dia enggan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post AMARAN HUJAN LEBAT TAHAP BURUK, WASPADA DI ENAM NEGERI
Next post KARNIVAL KPDN 2024 ZON SELATAN REKOD JUALAN LEBIH RM3 JUTA
Ubah saiz-+=