MUHAMMAD ADLI ‘RINGAN TULANG’ BANTU ORANG
DURIAN TUNGGAL 10 Disember – Sifat ‘ringan tulang’ anak muda ini melayakkan dia untuk menerima Anugerah Khidmat Masyarakat Terbaik pada Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Kali Ke-26 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), pada Ahad.
Meskipun jadualnya di kampus padat Muhammad Adli Ayub, 24, tetap mencuri masa untuk membantu rakan-rakan dan menjadi sukarelawan pada penganjuran pelbagai program.
Anak ketiga dari empat beradik ini berkata, dia berasa puat dapat berbakti kepada orang ramai terutama menerusi aktiviti khidmat masyarakat atau kerja-kerja amal di UNIMEL.
“Alhamdulillah tidak sangka terima anugerah ini kerana semasa menuntut di UNIMEL saya hanya berfikir cara untuk membantu rakan-rakan.
“Biarpun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, saya sentiasa berfikiran positif untuk memastikan komuniti di unimelmenerima manfaat.
“Saya juga pelajar dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dari Fakulti Sains Sosial, jadi urusan membantu masyarakat ini menjadi fokus utama saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Muhammad Adli menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang ditemani ibu, Noorlizah Ali,57, dan kakaknya, Noorayu Ayub, 34.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Muhammad Adli berkata dia mahu fokus kepada kerjaya ketika ini iaitu sebagai Penolong Pegawai Psikologi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah saya sudah bekerja selama sebulan dan untuk sambung pengajian itu belum terfikir lagi kerana mahu stabilkan dulu kerja yang ada, jika cukup kewangan baru saya fikir bagaimana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.